Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kos rawat Covid-19: Insurans gesa hospital swasta 'bantu lebih sikit'
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 9:15 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Semua sektor termasuklah hospital swasta perlu mempertingkatkan bantuan mereka dalam pertempuran melawan wabak Covid-19, gesa Pengerusi Persatuan Insuran Am Malaysia (Piam) Antony Lee.

Ini selepas Kementerian Kesihatan dan sektor korporat berbincang bagaimana hospital swasta dapat terlibat untuk merawat pesakit Covid-19.

Antara pertimbangan utama apakah pilihan bayaran kos rawatan oleh pesakit.

Pada wawancara bersama stesen radio BFM89.9 hari ini, Lee berkata syarikat insurans sahaja tidak mampu menanggung kos rawatan dan penjagaan berkaitan Covid-19 yang boleh mencecah "berbilion" ringgit.

"Mereka (kerajaan) sedar perbelanjaan ini dapat mencecah jumlah berbilion ringgit dan tidak mungkin insurans sebagai industri sahaja yang dapat menanggung kos ini.

"Ia memerlukan muafakat semua pihak. Saya rasa semua sektor perlu mempertingkat sokongan dan benar-benar membantu dalam keadaan darurat ini,” katanya

Walaupun firma insurans di seluruh dunia umumnya tidak melindungi risiko berkaitan wabak penyakit, Lee berkata pihaknya setuju membantu kerajaan dalam pertempuran melawan Covid-19 sebagai "inisiatif tanggungjawab sosial korporat."

"Dan hospital swasta juga perlu mempertingkat bantuannya.

"Mereka perlu sedar pada saat ini semua pihak perlu bekerjasama dan kita perlu meneliti seberapa cekap kita (dapat) melakukannya. Dan piawaian mungkin perlu berbeza untuk mencegah kehilangan nyawa,” katanya ketika ditanya mengenai siapa yang perlu membayar bil kos rawatan kesihatan swasta.

Lee menjelaskan syarikat insurans tidak dapat menampung kos rawatan Covid-19 sepenuhnya kerana banyak ciri virus itu tidak diketahui. Ini mencegah mereka menentukan risiko, sehingga menjadikannya sukar untuk meletakkan harga pada polisi insurans untuk virus tersebut.

Piam terdiri daripada 26 syarikat insurans dan insurans semula yang menawarkan polisi insurans am di Malaysia.

Hospital swasta: Insurans perlu tambah sokongan

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Kuljit Singh sebelum ini berkata pihak berkepentingan sedang menggesa syarikat insurans supaya mempertimbangkan semula pendirian tidak akan menanggung kos rawatan Covid-19.

"Kita sekarang berada dalam wabak. Ini keadaan darurat. Mereka perlu meneliti semula hal ini.

"Syarikat insurans harus membayar kerana rawatan Covid-19 tidak mahal, hanya banyak pemerhatian, bekalan oksigen, dan lain-lain.

"Tetapi tentu saja, jika seseorang dimasukkan ke unit rawatan rapi, kosnya akan lebih mahal," katanya kepada Malaysiakini minggu lalu.

Pesakit Covid-19 dibahagikan dalam lima kategori - 1 (tanpa gejala), 2 (gejala ringan), 3 (gejala serius), 4 (radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan 5 (penyakit kritikal dengan kegagalan pelbagai organ).

Biasanya, hanya tiga kategori terakhir yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Kerajaan telah berbincang dengan hospital swasta untuk mendapatkan bantuan kerana penjagaan kesihatan awam semakin tertekan dengan peningkatan jumlah kes Covid-19.

Pihak berkepentingan akan terlibat dalam perbincangan pusingan ketiga esok sebelum rancangan integrasi dilancarkan minggu depan.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS