Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak rugi kekalkan cuti Thaipusam di Kedah, kata MP Merbok
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 1:53 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Anggota Parlimen Merbok Nurin Aina berkata tidak ada ruginya jika kerajaan Kedah terus memberikan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam di negeri itu pada tahun ini.

Kata Nurin cuti peristiwa itu sewajarnya dikekalkan sebagai tradisi perayaan.

"Memberikan cuti adalah penghormatan kepada kesalingan budaya dan pastikan terus kekal selamat di rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurin berkata demikian selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanudi Md Nor beberapa hari lalu mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di negeri itu susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Kenyataan Sanusi itu turut mengundang kecaman pelbagai pemimpin politik termasuk Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan yang menganggap ia berat sebelah. 

Timbalan Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy pula menyifatkannya sebagai melampau.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamuddden tampil mempertahankan menteri besar Kedah itu.

Tak jiwai semangat majmuk

Jelas Afnan, keputusan penarikan cuti itu dibuat melihat keadaan rakyat di negeri itu seolah-olah sudah bercuti sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana kebanyakannya bekerja dari rumah.

Tambahnya lagi, jumlah cuti peristiwa adalah terhad yang memerlukan kelulusan dari majlis mesyuarat kerajaan negeri. 

Sementara itu, Ketua Pemuda (AMK) PKR, Akmal Nasir, menganggap Sanusi seakan-akan gagal menjiwai semangat kemajmukan penduduk Malaysia.

"AMK Malaysia mengecam kenyataan menteri besar Kedah yang secara terbuka dan angkuh menyebut bahawa 'raya pun tidak, cuti pun tidak' bagi merujuk perayaan Thaipusam yang akan disambut pada 28 Januari ini.

Akmal Nasir

"Kenyataan tidak bertanggungjawab menteri besar Kedah itu memberi petunjuk jelas bahawa beliau tidak menjiwai semangat kemajmukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama," katanya.

Ahli parlimen Johor Bahru itu juga berkata lebih memalukan apabila Sanusi mewakili PAS yang kononnya menjadi cerminan kepada pendekatan kerajaan Melayu-Islam.

Sebaliknya kata Akmal ia memberikan gambaran tidak baik terhadap Melayu-Islam di mata masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di Malaysia.

Hakikatnya, kata Akmal, Islam tidak pernah sama sekali mendiskriminasi mana-mana kaum.

Justeru dia menggesa Sanusi menarik balik keputusan berkenaan.

"Keputusan menteri besar Kedah dalam hal ini perlu ditarik balik kerana ia berpotensi menyuburkan api perkauman dan menggugat keharmonian kaum yang telah wujud di Malaysia," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS