Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thaipusam: PKP sudah macam cuti - pegawai MB
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Selepas menteri besar Kedah dikecam kerana memutuskan tiada cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam tahun ini, setiausaha politiknya Afnan Hamimi Taib Azamudden tampil mempertahankan Muhammad Sanusi Md Nor.

Afnan menggambarkan keputusan tersebut dibuat memandangkan rakyat di negeri itu seolah-olah sudah “bercuti” sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana kerana kebayakannya bekerja dari rumah.

Jelasnya lagi, jumlah cuti peristiwa adalah terhad yang memerlukan kelulusan dari majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Cuti peristiwa tak diberi kerana memang rakyat sudah ‘bercuti’ apabila kebanyakan mereka berkerja dari rumah ketika PKP.

“Ada sebilangan yang bekerja di tempat kerja terutamanya kumpulan frontliners (barisan hadapan).

“Cuti peristiwa adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jumlah hari untuk cuti peristiwa adalah terhad. Untuk kelulusan satu-satu cuti peristiwa, kena dapat kelulusan mesyuarat exco kerajaan negeri,” katanya di Facebook semalam.

Semalam, Muhammad Sanusi mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Ia kemudian mendapat kecaman beberapa pemimpin politik khususnya Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan, yang menganggap ia berat sebelah.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy pula menyifatkannya sebagai melampau.

Mengulas serangan yang mendakwa kerajaan Kedah diskriminasi penganut Hindu, Afnan yang juga naib ketua Pemuda PAS mempersoalkan mengapa hanya Kedah diserang dan tidak tujuh negeri lain.

Dia turut mempertikaikan mengapa ia tidak menjadi isu ketika Kedah ditadbir oleh BN sebelum ini.

“Soalnya, kenapa pihak itu tidak serang kerajaan negeri Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak?

“Semua negeri ini juga tidak bercuti sempena Thaipusam. Di negeri-negeri itu juga ada sebilangan penganut agama Hindu yang sambut perayaan Thaipusam.

“Sejak puluhan tahun BN jadi kerajaan sebelum ini di Kedah, tiada cuti peristiwa diberikan untuk Thaipusam di Kedah. Kenapa ketika itu tak serang BN?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS