Pihak polis Indonesia dan Malaysia perlu bekerjasama mewujudkan komunikasi secara formal dan nyata untuk menyelesaikan kes kehilangan paksa warga Indonesia Ruth Sitepu dan suaminya Joshua Hilmy.
Hal ini disyorkan oleh Rama Ramanthan, jurucakap Rakyat Bantah Kehilangan Paksa Malaysia di forum ‘Permohonan Perlindungan Negara dalam Kes Kehilangan Paksa Rakyat Indonesia di Malaysia’ petang tadi.
“Saya mencadangkan kepada pihak berkuasa Indonesia agar bekerjasama dengan polis Malaysia dan mewujudkan komunikasi yang jelas kepada orang awam untuk menyiasat apa sebenarnya yang terjadi kepada Ruth Sitepu dan suaminya,” katanya.
Dia juga berkata duta Indonesia seharusnya membuat laporan kepada pihak polis Malaysia agar mereka akan sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini kes itu.
“Saya juga syorkan agar pihak berkuasa Indonesia di Malaysia untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan Ruth Sitepu.
“Jika anda membuat laporan, anda mempunyai hak untuk dimaklumkan perkembangan terkini kes tersebut. Ini sebahagian daripada undang-undang di Malaysia,” katanya.
Forum itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Orang Yang Hilang dan Mangsa Keganasan Indonesia (Kontras) untuk membahas komitmen Indonesia dalam melindungi rakyat mereka yang terlibat dalam kes kehilangan paksa.
Pasangan suami isteri Ruth Sitepu dan suaminya yang merupakan warganegara Malaysia, Joshua Hilmy, disyaki menjadi mangsa kes kehilangan paksa apabila mereka berdua hilang secara tiba-tiba pada 30 November 2016.
Kes kehilangan pasangan itu hanya dilaporkan kepada polis pada 6 Mac 2017.
Forum itu turut dihadiri oleh adik-beradik Ruth Sitepu, Ram Ram Elisabeth dan Iman Setiawan Sitepu yang merayu agar kes kehilangan kakak mereka mendapat perhatian presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
“Kami minta kepada presiden Jokowi tolonglah bantu kami untuk menemukan kakak kami ini. Kami tak tahu lagi apa yang harus kami lakukan. Bagaimanapun keadaan Ruth, kami terima seadanya.
“Saya mewakili keluarga Ruth Sitepu memohon pihak Indonesia dan Malaysia untuk membantu menyelesaikan kes ini agar Ruth dapat dikembalikan.
"Kami minta tolong kerajaan Malaysia, kasihanilah kami, bantulah kami untuk bertemu dengan kakak semula,” katanya.