Kerajaan Selangor mengaktifkan semula Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 yang sebahagiannya akan dibiayai melalui potongan gaji ahli politik.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata mekanisme potongan gaji itu akan dimuktamadkan segera, membabitkan pemotongan gaji Adun, exco serta pegawai tinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Amirudin turut mengumumkan dia sendiri menyumbang sebulan gajinya untuk disalurkan ke tabung itu sebagai permulaan.
Dia berkata demikian ketika mengumumkan pakej bantuan Kita Selangor ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.
Melalui pakej itu, kerajaan negeri memperuntukkan dana RM6 juta untuk ujian saringan Covid-19 secara bersasar, selain inisiatif untuk membantu petugas barisan hadapan, serta peruntukan RM6.8 juta untuk semua Adun dan ahli parlimen Selangor di bawah program Mesra Rakyat.
Amirudin berkata, ujian saringan bersasar itu merangkumi 50,000 penduduk Selangor, termasuk warga emas yang berisiko tinggi, khususnya di pusat penjagaan warga emas dan pusat haemodialisis, golongan B40 dan mahasiswa anak Selangor.
Berdasarkan polisi baru Kementerian Kesihatan Malaysia, ujian saringan tidak akan dilakukan ke atas kontak rapat yang dikesan sekiranya mereka tidak menunjukkan gejala.
Untuk petugas barisan hadapan, kerajaan Selangor akan menyediakan bantuan makanan kepada kakitangan perubatan di hospital dan pejabat kesihatan daerah negeri, selain polis dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya dan operasi pematuhan SOP seluruh negeri, melibatkan peruntukan RM3 juta.
Mereka turut boleh menghantar anak-anak ke taska dan pusat jagaan sementara secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari ini.
Selangor turut akan mengecualikan bayaran sewa projek perumahan rakyat (PPR) untuk bulan Januari, dan menangguhkan sewa untuk Feb dan Mac ini.
Amirudin turut mengumumkan usaha merangsang ekonomi, termasuk RM10 juta bagi program e-kitchen bagi membantu penjaja kecil makanan dan minuman meneruskan berniaga dalam talian, kemudahan pinjaman mikro kepada peruncit kecil dan mikro, serta RM10 juta bagi mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan melalui ekonomi gig, membabitkan pekerja bebas (freelance).
Sementara itu, dia turut mengumumkan RM2 juta bantuan banjir sebanyak RM1 juta untuk penduduk Pahang selain Kelantan dan Terengganu, masing-masing bernilai RM500,000.