Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada sambutan Thaipusam, permintaan kelapa merudum
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermakna tiada sambutan Thaipusam tahun ini, menyebabkan pembekal buah kelapa, bahan penting dalam sambutan itu, menanggung kerugian dan terpaksa mencari jalan lain bagi memasarkan kelapa yang ditempah awal.

Pemilik Joez Coconut, Joel Jeyachandran berkata syarikatnya langsung tidak menerima permintaan sekalipun sudah menempah 80,000 biji kelapa sebagai persediaan untuk sambutan itu.

“Dalam kontrak, untuk perayaan Thaipusam kami dikehendaki membawa keluar kelapa (dari ladang) sebanyak 80,000 biji dan membayar kepada pemilik ladang mengikut perjanjian. Namun, disebabkan tiada langsung permintaan kami terpaksa bayar juga.

“Bagaimanapun, kami akan cuba cari jalan untuk memasarkan kelapa-kelapa tersebut di pasar-pasar awam di sekitar Pulau Pinang dan kawasan luar seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan lain-lain tempat bergantung kepada permintaan,” katanya kepada Bernama di Georgetown hari ini.

Usahawan berusia 36 tahun itu turut menjangkakan situasi tersebut berlarutan hingga ke sambutan Tahun Baharu Cina dan hari raya Aidilfitri.

"Bagaimanapun, permintaan kelapa untuk keperluan harian seperti santan, kelapa muda, produk minuman yang kami jual seperti coconut shake, jeli kelapa dan lain-lain produk berjalan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, seorang peruncit kelapa T Muthumanickam, 28, berkata beliau kini menghadapi kesukaran untuk meneruskan perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya sejak 30 tahun lalu.

Gambar fail

“Disebabkan pandemik ini, perniagaan amat perlahan. Saya juga terpaksa memberhentikan dua orang pekerja yang ada sebelum ini (kerana tidak mampu membayar gaji),” katanya.

Setiap tahun ketika sambutan Thaipusam, ratusan ribu biji kelapa dipecahkan oleh penganut Hindu di sepanjang jalan dari Lebuh Penang ke Jalan Kebun Bunga dekat sini, iaitu sejauh lapan kilometer, sebagai membayar nazar semasa perarakan pedati membawa Dewa Murugan ke kuil.

Pada 8 Jan lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menyatakan sambutan Thaipusam yang jatuh pada 28 Jan ini dibatalkan dan penganut Hindu di negeri itu dinasihatkan berada di rumah pada tarikh berkenaan bagi mengekang penularan Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS