Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0 @ Permai yang membabitkan peruntukkan bernilai RM15 billion.

Secara jujur adakah Permai merupakan penambahbaikan terhadap Pakej Prihatin atau pakej kitar semula? Jom kita lihat.

Muhyiddin mengumumkan bahawa wang pendahuluan daripada KWSP akan dipercepatkan. 

Bukankah ini telahpun diumumkan dalam Prihatin dan di dalam Belanjawan 2021? Mengapa perlu diulang semula? Wang ini bukan milik kerajaan. Ini adalah wang rakyat sendiri.

Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bangga dengan inisiatif ini dengan wang rakyat dipulangkan kepada rakyat sendiri? Apakah perkara baru yang perlu dibanggakan dalam pengumuman ini?

Pembayaran BPN 2.0 telah dipercepatkan iaitu akan dibayar mulai 21 Januari 2021. 

Perkara ini telahpun diumumkan oleh Menteri Kewangan pada 13 Januari 2021. Perlukah pengumuman kali kedua daripada perdana menteri mengenai perkara yang sama. 

Adakah ia untuk menunjukkan kerajaan 'Abah' Prihatin? Ini dipanggil 'cheap publicity'. Rujuk pautan ini.

Bagi pembayaran BPR, bilakah bayaran akan dibuat? 

Tiada tarikh dinyatakan dalam pengumuman. Adakah ini sebagai gula-gula bagi menyedapkan hati rakyat jelata?

Apakah mekanisma penyaluran bakul makanan yang telah diumumkan? 

Adakah kerajaan PN akan mengambil pendekatan yang sama sperti pada tahun lalu di bawah kelolaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun di mana bakul makanan itu tidak diserahkan kepada wakil rakyat pembangkang tetapi disalurkan melalui wakil daripada Parti Bersatu? 

Lanjutan Moratorium oleh bank-bank telah diumumkan melalui Pakej Prihatin dan Belanjawan 2021. 

Apakah maklumat baru yang ingin disampaikan pada kali ini? Kebanyakan orang telahpun menerima kelulusan moratorium sehingga Mac 2021. Apakah jaminan bahawa moratorium ini akan dilanjutkan selepas bulan Mac 2021?

Tiada beza sekiranya tempoh PKP dilanjutkan kerana moratorium telahpun diberi yang akan manfaatkan rakyat yang terkesan selepas tamat tempoh moratorium 1.0. 

Akan tetapi, kesan atau impak PKP 2.0 akan dirasai hanya selepas tamatnya PKP. Kenapa kerajaan tidak memberikan lanjutan moratorium kepada semua selama enam bulan seperti yang diminta oleh Pakatan Harapan semasa pembentangan Belanjawan 2021? 

Saya sentiasa menerima maklumat bahawa bank tidak memberikan moratorium secara automatik. Kelulusan bank untuk moratorium adalah tertakluk kepada persetujuan pelanggan untuk 'reschedule' jadual pembayaran bulanan di mana kadar faedah dan tempoh pembayaran juga bertambah. Ia tidak sama dengan pemberian moratorium 1.0 bermula Mac 2020. Adakah ini pengumuman yang menjaga kebajikan rakyat melalui Permai?

Pengumuman pelepasan khas cukai terhadap pembelian telefon pintar, komputer atau tablet. 

Rakyat marhaen tidak berminat untuk membeli peralatan ini kerana kebanyakan rakyat adalah dalam golongan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagaimana mereka hendak membeli peralatan ini sedangkan mereka tidak mampu untuk membeli keperluan harian mereka seperti beras, gula, kopi dan sebagainya.

Sepatutnya kerajaan perlu menaikkan pelepasan cukai secara am tanpa merujuk kepada pembelian peralatan digital ini. Kerajaan seharusnya perlu berusaha untuk membekalkan peralatan digital ini secara percuma kepada golongan B40 dan bukan minta mereka beli dan tuntut pelepasan cukai.

Pengecualian cukai kenderaan penumpang telah diumumkan terlebih dahulu. Apakah perkara baru yang telah disampaikan oleh Muhyiddin di dalam Permai. Sangat afdal sekiranya kerajaan mengumumkan pelanjutan pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2021 dan bukan hanya sehingga 30 Jun 2021. Lagipun, rakyat tidak berminat untuk menambah beban kewangan mereka dalam keadaan ekonomi yang terumbang-ambing.

Pelaksanaan subsidi upah mempunyai masalah dari segi pengagihan upah tersebut kepada pekerja 

Ada majikan menipu, tidak membayar upah kepada pekerja dan ada juga gulung tikar setelah menerima bantuan tersebut. Menteri Sumber Manusia sendiri telah memaklumkan perkara ini. 

Lihat pautan ini. Jadi, bagaimanakah kerajaan akan memastikan program subsidi upah ini benar-benar di bayar kepada pekerja? Apakah mekanisma yang akan digunapakai oleh kerajaan pada kali ini?

Bagi inisiatif-inisiatif menyokong kelangsungan perniagaan, tiada pengumuman yang memberangsangkan yang boleh memberi impak terhadap ekonomi negara. 

Pemberian-pemberian ini kurang memberi impak besar terhadap perniagaan sekiranya kuasa membeli rakyat semakin berkurangan. Semua inisiatif di bawah matlamat ini adalah di kitar semula daripada pakej Prihatin atau Penjana.

Tiada inisiatif khusus bagi menangani masalah pengangguran.

Tiada inisiatif untuk menarik pelaburan asing padahal kebanyakan pelabur dan syarikat gergasi seperti Sony Pulaun Pinang, Hyundai, Honda kini sedang 'keluar' daripada Malaysia.

Permai juga tidak menjawab pertanyaan daripada Lim Guan Eng mengenai penggunaan RM17 billion dalam menangani Covid-19. 

Adakah 61 peratus rakyat perlu menunggu untuk menerima vaksin sehingga tahun 2022? Apakah telah jadi kepada RM17 billion ini jika saringan penuh tidak lagi dijalankan terhadap semua kontak rapat tanpa gejala? 

Apakah pelan vaksinasi kebangsaan? Sepatutnya Malaysia berasa malu kerana Singapura dan Indonesia telahpun memulakan vaksinasi terhadap rakyat mereka.

Agak memalukan juga kerana India telah memulakan vaksinasi mereka mulai 16 Januari 2021. Alasan yang diberikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin juga tidak boleh diterima. 

Sekiranya Indonesia menerima vaksin lebih awal kerana merupakan negara ujian klinikal, kenapa Malaysia menandatangani perjanjian usahasama dengan China untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin di mana ia telah menjanjikan keutamaan akses kepada vaksin SinoVac? Bukankah ini usaha memperdayakan rakyat Malaysia?

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, Permai tidak boleh menjadi kebanggaan kerajaan PN kerana tiada inisiatif baru yang signifikan bagi meringankan beban rakyat mahupun perniagaan. 

Permai adalah satu bahan yang dikitar semula dengan beberapa pelanjutan sahaja. Secara ringkas, Permai adalah 'extended version of Budget 2021'.


GANABATIRAU VERAMAN adalah exco kerajaan negeri Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS