Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elak kluster SPM, kata Syed Saddiq
Diterbitkan:  Jan 19, 2021 4:24 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah segera berhubung isu ujian saringan Covid-19 di kalangan pelajar yang akan hadir ke sekolah bermula esok, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dia berkata ia dikhuatiri insiden seperti 18 orang pelajar asrama di Sabah yang didapati positif Covid-19 akan berlaku kepada pelajar-pelajar yang bakal pulang ke sekolah.

“KPM seharusnya mengelakkan insiden Kluster SPM dari terjadi dan kes pelajar di asrama Sabah seharusnya diambil sebagai satu signal kepada menteri pendidikan.

“Persoalan yang saya bangkitkan ini bukanlah persoalan baru.

“Namun, kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar yang akan menyertai sekolah pada hari esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 16 Januari, KPM mengumumkan sesi persekolahan bersemuka - sepatutnya bermula 20 Jan - akan hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama.

Ia melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Menurut Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, guru yang akan mula bertugas di sekolah pada sesi persekolahan itu tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik itu.

Mohd Radzi Md Jidin

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan turut membangkitkan beberapa persoalan kepada kerajaan berhubung SOP Covid-19 antara kerajaan negeri Sabah dan arahan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kenyataan Ismail yang tidak mewajibkan pelajar IPT dan sekolah menjalani ujian saringan Covid-19 bukanlah satu langkah yang cekap.

“Malah, ia bertentangan dengan kenyataan dari Menteri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mahu pemeriksaan saringan Covid-19 dibuat kepada semua pelajar.

“Adakah Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin masih lagi tidak akan menghiraukan risiko Kluster SPM apabila rancangan untuk membuka kembali sekolah kepada calon peperiksaan umum pada 20 Januari 2021 masih akan diteruskan?

“Saya juga menggesa menteri pendidikan untuk segera membentangkan rancangan bagi memastikan para pelajar, ibu bapa dan guru-guru bersedia dengan musim buka sekolah yang dijadualkan pada 20 Januari 2021,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS