Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita sebanyak 19.2 tan biji kopi hijau Arabica bernilai RM517,700 di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di Butterworth kelmarin.
Pengarahnya Zarina Ramli berkata semasa pemeriksaan rutin pihaknya pada jam 4.45 petang di NBCT mendapati 640 guni biji kopi dalam sebuah kontena dari Kenya itu tidak mematuhi syarat permit import.
"Semua biji kopi yang dianggarkan bernilai RM517,700 itu disiasat kerana kesalahan ketidakpatuhan Sijil Perakuan 3P (penggredan, pembungkusan dan pelabelan)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
- Bernama