GLOBAL l Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden merancang untuk melanjutkan sekatan perjalanan dengan menghalang perjalanan oleh mereka yang baru-baru ini melawat Eropah dan Brazil sejurus selepas pengumuman Presiden Donald Trump untuk menarik balik sekatan tersebut mulai 26 Januari, kata jurucakap Biden.
Sebelum ini, memetik proklamasi di laman web Rumah Putih, Trump dilaporkan akan menarik semula sekatan dari Schengen Area, United Kingdom, Ireland dan Brazil bermula 26 Januari.
Trump menandatangani perintah pada hari Isnin untuk menghapus sekatan yang dikenakannya pada awal tahun lalu sebagai tindak balas terhadap wabak itu - keputusan yang pertama kali dilaporkan Isnin oleh Reuters - setelah mendapat sokongan daripada anggota pasukan petugas koronavirus dan pegawai kesihatan awam.
Susulan perintah Trump itu diumumkan, jurucakap Biden, Jen Psaki menciap “atas nasihat pasukan perubatan kami, pentadbiran tidak berhasrat menarik semula sekatan ini pada 26 Januari.”
“Sebaliknya, kami merancang memperketatkan langkah-langkah kesihatan awam untuk perjalanan antarabangsa bertujuan mengurangkan penularan Covid-19," ciapnya.