Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lembaga pentadbir sekolah sambut baik keputusan tangguh buka sekolah

Dua jawatankuasa pentadbiran sekolah di Kuching mengalu-alukan keputusan diambil kerajaan supaya semua murid sekolah rendah serta murid Tingkatan 1 hingga 5 mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Saya percaya ini menunjukkan bahawa SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak) dan kerajaan sedia mendengar suara dan pandangan orang ramai terutama ibu bapa pelajar," kata Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah Chung Hua No.1, 3 dan 4 Datuk Richard Wee.

Wee berkata dalam keadaan semasa wabak COVID-19 masih menjadi ancaman, keselamatan dan kesihatan pelajar perlu menjadi keutamaan.

Bagaimanapun, beliau berkata keseimbangan terhadap pelajar yang berada dalam tahun peperiksaan juga perlu diberikan perhatian apabila tidak ramai pelajar yang kembali ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Kami berharap semua ibu bapa dan pelajar akan memberi kerja sama sepenuhnya dengan pihak sekolah untuk memastikan pembelajaran dalam kelas berjalan lancar serta mengikut SOP dan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Beliau juga menggesa pihak sekolah supaya bersedia sepenuhnya dengan memastikan langkah-langkah pencegahan dan kemudahan yang diperlukan apabila pelajar kembali ke sekolah.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid bermula 20 Jan ini.

Menurut KPM, sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pentabir Sekolah Menengah St Thomas Edgar Ong memuji keputusan KPM dan mengatakan bahawa ia adalah baik kerana kementerian mendengar perspektif ibu bapa dan pengurusan sekolah dalam membuat keputusan penting.

"Kami juga bersyukur kerana SDMC memenuhi permintaan kami kerana kepentingan kesihatan dan keselamatan semua pelajar kami menjadi keutamaan. Kami percaya kaedah pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian akan terus dipertingkatkan pada bulan-bulan akan datang.

Ini adalah masa yang tepat untuk melabur dan memajukan kaedah pengajaran ini (pengajaran dari rumah) yang memberi manfaat kepada semua. Kita perlu fokus dan mengambil tindakan segera dalam semua bidang untuk memastikan peralihan yang lancar ke dalam teknologi yang sudah tersedia," kata Ong.

Sementara itu, Ong berkata premis Sekolah St Thomas akan terus mengekalkan tahap kebersihan terbaik dan dinyah kuman sepenuhnya serta memastikan semua yang terlibat dengan sesi pembelajaran secara bersemuka, baik guru, kakitangan mahupun pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan kepada mereka yang perlu meneruskan pembelajaran bersemuka. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS