Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang sepakat tak puas hati dengan darurat
Diterbitkan:  Jan 17, 2021 1:08 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa persidangan kebangsaan membabitkan semua parti politik di negara ini diadakan di bawah seliaan parlimen bagi merangka strategi dan pendekatan baru menghadapi pandemik Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, dia juga menyeru supaya amalan “politik tipu muslihat” ditamatkan, sekali gus mencadangkan pertemuan semua parti politik bagi mencapai konsesus baru bahawa ancaman terbesar negara kini ialah wabak berkenaan.

"Perintah darurat yang dilaksanakan Selasa lepas tidak menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada mengadakan persidangan khas Dewan Rakyat serta-merta bagi membuka jalan kepada persidangan kebangsaan itu.

“Malaysia memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan dan masyarakat bagi menangani krisis ini. Ia perlu berikutan catatan terbaru jangkitan harian yang melepasi angka 4,000 kes semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 4,029 kes positif baru Covid-19 dicatatkan dan lapan kematian direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negara ini kepada 155,095 kes sertra 594 korban.

"Inilah sebabnya mengapa mesti ada parlimen khas untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19 apabila semua parti politik dan ahli parlimen dapat meredakan perbezaan mereka agar menjadi penyebab memenangkan perang melawan Covid-19 dengan mengadakan persidangan nasional," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, dengan tegas berkata DAP bersedia menyertai jawatankuasa bebas untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan darurat jika pembangkang diberi peluang sama rata dalam menentukan hala tujunya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semalam berkata dia telah metulis surat kepada ketua pembangkang di Parlimen, Anwar Ibrahim untuk meminta mereka menyenaraikan tiga nama bagi menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Luah pendapat secara telus

Namun sehingga kini, katanya, dia belum menerima calon yang dicadangkan.

Laporan Malay Mail Online hari ini menyatakan Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata kerjasama dapat dicapai jika lebih lebih ramai anggota parlimen pembangkang dan pakar turut dijemput sertai jawatankuasa itu bagi menjadikannya lebih “bebas”.

Lim berkata Muhyiddin perlu memberi jaminan sebarang kerjasama akan dilakukan secara telus dan ikhlas.

“Kami akan menerima dengan ikhlas (sekiranya ada undangan) tetapi dengan syarat ketat bahawa penyertaan kami tidak akan digunakan untuk meluluskan sebarang tindakan tidak berperlembagaan oleh Muhyiddin,” kata bekas menteri kewangan itu.

Sementara itu, The Malaysian Insight memetik anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang akan merayu kepada Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat.

“Kami akan kemukakan rayuan bersama daripada PH,” kata seorang pemimpin kanan Amanah yang enggan namanya disebutkan.

“Saya rasa penting bagi kita untuk meluahkan pendapat kami kepada Yang di-Pertuan Agong secara terus,” kata ahli Parlimen itu.

Katanya, PH tidak mempertikaikan hak Agong namun berharap agar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan semula perintah darurat.

Mengikut nada sama yang dilemparkan Anwar pada minggu lalu, dia berkata PH berpendapat darurat yang diusulkan Muhyiddin tidak perlu kerana undang-undang yang ada sudah mencukupi.

“Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sudah sangat luas dan berfungsi dengan baik untuk membendung Covid-19 tahun lalu.

“Tambahan pula, PH sentiasa menyokong langkah wajar yang diambil bagi menangani penularan Covid-19.

“Oleh itu, keperluan Perintah Darurat untuk Covid-19 sama sekali tidak perlu timbul," katanya.

Portal tersebut melaporkan bahawa lebih daripada separuh pemimpin pembangkang akan membuat rayuan bersama.

Usul itu juga mendapat sokongan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Marzuki Yahya.

“Kami bersetuju untuk menghadap Agong kerana ada banyak kerisauan mengenai kesan perintah darurat terhadap ekonomi,” katanya.

Menurut Marzuki Pejuang berharap mereka dapat mengirim rayuan itu esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS