Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lumpuhkan' perlembagaan tak membantu usaha melawan pandemik - Mohamad
Diterbitkan:  Jan 17, 2021 12:30 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

"Melumpuhkan" perlembagaan, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tidak sekali-kali membantu negara menghadapi wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan dibuatnya hari ini Mohamad berkata Malaysia memang sedang berdepan dengan sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Menurutnya ketika ancaman wabak itu semakin memburuk dan ekonomi menguncup, negara ini diletakkan dalam keadaan darurat dengan perlembagaan dan parlimen digantung fungsinya.

"Kita maklum keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat dibuat dengan tujuan mengawal wabak berkenaan.

"Bagaimanapun saya percaya adalah lebih wajar kerajaan mengisytiharkan darurat kesihatan sambil memperkenalkan ordinan khusus untuk tujuan itu," katanya.

Menurut bekas menteri besar Negeri Sembilan itu lagi hanya melalui penguatkuasaan strategi kesihatan yang betul kerajaan boleh mengawal pandemik Covid-19.

Misalnya kata Mohamad dengan menyegerakan proses imunisasi dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Untuk melumpuhkan perlembagaan - sama ada sebahagian atau sepenuhnya - tidak pernah membantu kita pulih daripada pandemik," katanya.

Kerajaan mula menguatkuasakan semula PKP di beberapa negeri mulai 13 Jan lalu sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan.

Ia berlaku selepas beberapa ketika Putrajaya melonggarkan pergerakan rentas daerah dan rentas negeri penghujung tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan saranan kabinet agar darurat diisytiharkan agar berkuat kuasa sehingga 1 Ogos dengan parlimen digantung.

Pengkritik mendakwa darurat tidak perlu diisytiharkan kerana PKP atau langkah kawalan lain memadai untuk mengawal penyebaran Covid-19. Darurat juga didakwa dijadikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai langkah menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional yang semakin kehilangan dukungan ahli parlimen.

Pelbagai pihak - termasuk dalam kalangan Umno - turut tidak senang dengan pelaksanaan darurat. Pemimpin PAS pula mendakwa darurat adalah langkah yang wajib diambil kerajaan dan pihak yang tidak senang denganya dianggap menyanggah Agong.

Mohamad berkata Umno sentiasa menyokong usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19 dan ia tidak pernah dikompromi.

"Bagaimanapun Umno juga bertegas agar demokrasi dipulihkan dan fungsi perlembagaan dikembalikan," katanya.

Menurut Mohamad demokrasi mesti dipertahankan dan tidak boleh dikalahkan sama ada oleh wabak atau apa saja cabaran yang dihadapi negara.

"Negara akan menjadi adil apabila perlembagaannya diletakkan sebagai undang-undang tertinggi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS