Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO: Peruntukan RM35.4 juta untuk 3 dewan, tiada rundingan terus
Diterbitkan:  Jan 16, 2021 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan isu peruntukan RM35.43 juta untuk membina dewan orang ramai di Pagoh yang dibangkitkan ahli Parlimen PH.

PMO dalam kenyataan berkata, jumlah peruntukan itu adalah untuk membina tiga buah dewan, bukan sebuah, dan perolehan projek itu dibuat mengikut tatacara secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan.

"Peruntukan pembangunan tersebut ialah untuk pembinaan tiga buah dewan orang ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar

bernilai RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar bernilai RM5.77 juta.

"Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan," kata PMO.

Menurut PMO lagi, projek tersebut adalah untuk keperluan masyarakat setempat dan menyuarakan kekesalannya atas dakwaan yang ditularkan.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan projek di kawasan Parlimennya itu.

Dia antara lain mempersoalkan kewajaran mengeluarkan belaja jutaan ringgit untuk projek tersebut di saat negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Salahuddin Ayub juga menyuarakan pandangan sama, dan mendakwa dia mendapat khabar yang projek tersebut melibatkan rundingan langsung.

“Khabarnya (terdapat) rundingan langsung untuk bina dewan orang ramai RM35 juta. Kalau benar inilah bala darurat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS