Rangka kapal yang ditemui selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari Kuantan pada dua hari lalu dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan ke-19.
Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop berkata kapal yang diperbuat daripada kayu dan tembaga itu kemungkin besar kapal dagang milik Inggeris atau digunakan pembesar pada zaman tersebut.
Katanya andaian itu dibuat berdasarkan penemuan kepingan plat besi bertulis Vivian & Son 1824, iaitu syarikat yang ditubuhkan bagi menjalankan operasi peleburan tembaga pada 1809 sebelum berkembang menjadi rumah peleburan terkemuka pada 1820.
Menurut Mesran syarikat itu dipercayai mengalami zaman kejatuhan pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke-20 dan pada 1924 ia bergabung menjadi British Copper Manufacturers Ltd yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.
"Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal buat masa ini tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik. Namun, kami mendapati kesan gangguan pada kapal itu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga.
"JWN percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam, selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100kg yang dijual kepada mereka," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.
Sehubungan itu, Mesran memohon mereka yang menyimpan komponen atau barangan diambil dari kapal tersebut agar segera memulangkannya kepada polis memandangkan ia adalah sebahagian daripada warisan negara.
Mesran berkata JWN juga akan memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan rangka kapal itu bagi tujuan penyelidikan dan pencarian bukti sejarah, dan bagi tujuan itu, rangka kapal tersebut akan dipindahkan ke Muzium Warisan Kuala Lipis.
"Bagaimanapun, sementara kapal itu masih berada di lokasi penemuan, kami akan meminta bantuan polis untuk terus memantau lokasi tersebut bagi mengelakkan berlaku lagi insiden pencerobohan atau kehilangan objek," katanya.
Rangka kapal itu ditemui terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom pada 14 Jan dipercayai kesan akibat banjir yang melanda kampung tersebut pada 3 Jan.
- Bernama