Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak ada ahli parlimen wanita ke dalam parlimen?'
Diterbitkan:  Jan 15, 2021 3:49 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Naib Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Fatin Fariza, mempersoalkan pelantikan ahli parlimen lelaki dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial.

Dia berkata demikian selepas jawatan itu diberikan kepada Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim sebelum digantikan dengan Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria.

“Persoalannya di sini, tiada ahli parlimen wanita ke di dalam parlimen untuk dilantik sebagai sebahagian daripada ahli jawatankuasa?

“Jawatankuasa yang dinyatakan di sini adalah melibatkan hal ehwal wanita dan kanak-kanak bukankah lantikan ahli parlimen wanita ada lebih baik?

“Wanita lebih memahami apa yang diperlukan wanita lain dan sudah tentu wanita adalah lebih dekat kepada kanak-kanak dari segi naluri keibuan mereka,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini pelantikan Shahidan dalam jawatankuasa itu dipertikai kerana pernah dikaitkan dengan satu kes mencabul remaja perempuan pada 2018. 

Selepas dikritik pelbagai pihak, tempatnya dalam jawatankuasa itu digantikan dengan Mohd Nizar.

Selain itu, Fatin turut menyenaraikan beberapa anggota parlimen wanita yang layak menjadi sebahagian dari ahli jawatankuasa itu.

“Kita ada Halimah Mohamad Sadique, Mas Ermieyati, Hanifah Hajar Taib dan ramai lagi ahli parlimen wanita lain yang boleh memangku jawatan tersebut. Bukankah sepatutnya kita memperkasakan wanita?

“Sudahlah pula ahli dewan rakyat wanita hanyalah seramai 32 orang sahaja, takkan dengan jumlah yang kecil ini kita tidak mampu memperkasakan peranan mereka ke dalam ahli jawatankuasa wanita dan hal ehwal kanak-kanak.

“Perlunya lebih pemerkasaan wanita di setiap peringkat dalam negara bermula dari Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi contoh kepada organisasi lain,” katanya lagi.

Jawatankuasa dwipartisan itu melantik Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman sebagai pengerusinya.

Anggota lain jawatankuasa itu ialah Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan), Che Alias Hamid (PAS-Kemaman), Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS