Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM rekrut lebih ramai tenaga kerja, bincang dengan hospital swasta

Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses mengambil bekerja lebih ramai kakitangan sektor kesihatan untuk mempertingkatkan kapasiti barisan hadapan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM juga kini sedang berunding dengan hospital swasta dan pengamal perubatan umum untuk membincangkan bagaimana mereka dapat membantu dalam perang terhadap Covid-19.

Bercakap kepada wartawan hari ini, Noor Hisham berkata KKM memerlukan tenaga untuk dapat memperluas operasinya bagi menangani kes Covid-19.

"Seperti di Hospital Sungai Buloh, unit rawatan rapinya kini telah diperluas menjadi 60 katil.

"Tetapi kami memerlukan lebih ramai kakitangan untuk membuka lebih banyak ruang. Kami mempunyai kemampuan, tetapi kami kekurangan tenaga kerja. Dan kami melihat bagaimana meningkatkan tenaga kerja kami.

"JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) kini menawarkan lebih banyak jawatan untuk jururawat dan jawatan lain. Kami sedang dalam proses merekrut lebih banyak tenaga kerja," katanya dalam sidang media harian KKM, di Putrajaya, hari ini.

Hospital Sungai Buloh, pusat rawatan utama kes Covid-19 di Lembah Klang, mendedahkan hospital itu kekurangan tenaga kerja sehingga mengakibatkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu.

Sehingga hari ini, terdapat 41 pesakit positif yang memerlukan bantuan pernafasan yang ditempatkan di beberapa hospital bukan untuk merawat Covid-19.

Menurut Noor Hisham, Hospital Sungai Buloh memiliki kemampuan untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) sehingga 120 katil.

"Tetapi kami memerlukan tenaga kerja terlebih dahulu," katanya.

Noor Hisham berkata kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital KKM yang seharusnya memberi tumpuan terhadap kes-kes bukan pandemik telah menyebabkan masalah lain bagi pihak kesihatan.

"Keprihatinan kami adalah apabila anda mengambil pesakit Covid-19, maka pesakit bukan Covid-19 akan diabaikan dalam hal itu."

Untuk mengatasi masalah ini, KKM difahamkan sedang berbincang dengan hospital swasta dan pengamal perubatan umum. 

KKM sedang meneliti kemungkinan kes-kes bukan pandemik seperti pesakit barah dan kes-kes separa kecemasan meneruskan rawatan di hospital swasta.

Turut dibincang mengenai kemampuan hospital swasta untuk menerima kes Covid-19.

"Perbincangan sedang berlangsung. Kami melihat bagaimana kami dapat menampung peningkatan jumlah kes, terutama di Lembah Klang," kata Noor Hisham.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS