mk-logo
Berita
Langkah pemulihan ekonomi 2020 beri manfaat pasaran buruh
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Intervensi ke atas pasaran buruh melalui pengenalan pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) telah menyumbang kepada pengekalan penempatan pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Katanya, intervensi dasar dilakukan melalui pakej rangsangan itu termasuk Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Pekerja, Pengekalan Pekerjaan dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) Plus, selain inisiatif jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Saravanan berkata Laporan Perspektif Pasaran Tenaga Buruh Suku Tahunan 2020: Pertumbuhan dan Pemulihan Pasaran Buruh menunjukkan prestasi ekonomi dan keadaan pasaran buruh dari suku pertama hingga suku ketiga bergerak selari mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penempatan pekerjaan.

"Manakala kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan pula menunjukkan pergerakan ke arah yang bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan tersebut yang dihasilkan oleh KSM dengan kerjasama EIS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu, aliran berbentuk rombus itu menunjukkan tanda positif dalam aspek pemulihan ekonomi dan pasaran buruh, katanya.

Oleh itu, katanya, usaha pemulihan ekonomi pada 2020 telah memberi manfaat kepada pasaran buruh dengan penurunan ketara kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

“Intervensi ke atas permintaan pasaran buruh melalui perbelanjaan awam yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna secara langsung dan tidak langsung telah berjaya mengekal dan mencipta peluang pekerjaan di beberapa sektor ekonomi,” katanya.

Saravanan berkata penambahbaikan dalam pasaran buruh dijangka mencapai momentum yang lebih baik dalam suku keempat 2020 dengan kadar pengangguran pada suku tersebut diunjur pada kadar 4.69 peratus dan kehilangan pekerjaan dijangka mencecah 22,560.

"Walaupun maklumat pasaran buruh pada suku ketiga 2020 menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun masih terdapat ketidakpastian dan ketidakcekapan dalam pasaran buruh yang memerlukan intervensi khusus," katanya.

Beliau berkata tiga perkara utama perlu diberi perhatian termasuk golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) yang mudah terjejas dalam mengekalkan pekerjaan kerana dilihat tidak imun terhadap krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

"Malah, kadar kehilangan pekerjaan untuk kategori PMET adalah yang tertinggi tetapi mempunyai kadar penempatan pekerjaan yang paling rendah berbanding kategori bukan PMET," katanya.

Ketidakpadanan kelayakan pekerjaan kekal meluas dalam pasaran buruh dengan kekosongan jawatan tertumpu kepada kategori bukan PMET, yang mewakili 70 peratus daripada jumlah kekosongan pada sukuan ketiga, berbanding dengan 54 peratus pencari kerja yang berkelulusan tertiari yang lebih sesuai untuk mengisi kekosongan kategori PMET, katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah lebihan kekosongan jawatan dalam pasaran buruh, di mana pada bulan September, jumlah kekosongan pekerjaan telah meningkat dua kali ganda berbanding jumlah pencari kerja.

Antara faktor yang mempengaruhi perkara tersebut ialah keutamaan pekerja untuk mendapatkan pekerjaan dengan kadar segera dan fleksibel terutama dalam bidang pekerjaan tidak formal; kadar tawaran gaji yang lebih rendah kepada pencari kerja PMET; dan keutamaan lokasi dalam menerima tawaran kerja, katanya.

“KSM akan terus memantau keadaan pasaran buruh dari semasa ke semasa selain pihak kerajaan juga akan memberi perhatian kepada intervensi yang bersesuaian untuk meningkatkan pemulihan dan kecekapan pasaran buruh negara," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS