Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa rangka pelan jangka panjang hadapi Covid-19
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Pengenalan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) harus dimanfaatkan kerajaan untuk merangka pelan jangka panjanga bagi mendepani wabak Covid-19, kata Gabungan Kesihatan Malaysia.

Menurut gabungan itu, pelan itu perlu melibatkan pakar dan bertujuan agar tiada lagi keperluan untuk melaksanakan PKP di masa akan datang.

Gesaan itu dinyatakan menerusi kenyataan yang ditandatangani 45 persatuan dan 18 individu dalam sektor kesihatan.

Antara yang menandatanganinya ialah Befrienders, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Lung Cancer Network, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia.

Tuntutan mereka yang pertama adalah agar kerajaan berhenti politikkan perkhidmatan kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan.

“Petugas barisan hadapan yang berpenat lelah berbakti untuk masyarakat sepanjang pandemik tidak wajar dipolitikkan.

“[...] Sementara PKP boleh jadi satu strategi tindak balas Covid-19, kami tak sokong ia sebagai dasar utama dan tidak terima sebarang isu politik dikaitkan dalam perkhidmatan kesihatan,” kata gabungan itu.

Tuntutan kedua adalah agar kerajaan menyediakan pelan jangka panjang untuk mengawal Covid-19 yang tidak menjejaskan ekonomi serta kehidupan orang awam.

“Ini termasuk penglibatan dengan pakar profesional, pemegang taruh luar, NGO dan orang awam,” kata gabungan itu lagi.

Gabungan itu juga berharap sebarang keputusan oleh jawatankuasa yang akan dibentuk perlu dibuat secara telus telus dan melalui perbincangan bersama pakar kesihatan.

Gabungan itu turut membangkitkan kemungkinan meningkatnya kes bunuh diri seperti yang berlaku ketika PKP pertama kali dilaksanakan.

“Kesan ekonomi PKP 2.0 ini akan jadi lebih teruk.

“Kami bimbang talian untuk isu bunuh diri dan keganasan akan meningkat seperti PKP kali pertama.

“Kerajaan perlu menyediakan keperluan yang memadai untuk menyokong golongan rentan di Malaysia,” kata mereka.

Sementara itu, Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy menggesa kementerian kesihatan Malaysia (KKM) untuk bekerjasama dengan hospital swasta untuk merawat kes tak berkaitan Covid-19, agar hospital awam dapat memberi tumpuan terhadap wabak itu.

“Peningkatan pesakit Covid-19 di hospital kerajaan memberi kesan terhadap sistem dan pengurusan pesakit bukan Covid-19.

“Perkhidmatan kesihatan seperti Pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), kesihatan um serta rawatan kanser boleh diberikan kepada pesakit swasta supaya pihak hospital kerajaan boleh memfokuskan untuk mengurus pesakit Covid-19," katanya dalam kenyataan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS