Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jokowi individu pertama terima suntikan vaksin Covid-19 di Indonesia
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

GLOBAL l Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di republik itu bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan.

Majlis "Suntikan Perdana" di Istana Presiden di Bogor itu, disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden, hari ini.

Jokowi diberikan suntikan vaksin Sinovac pada pukul 9.40 pagi waktu Indonesia barat, sebelum diikuti beberapa menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

Proses vaksinasi itu akan diteruskan ke provinsi-provinsi lain secara serentak mulai esok, dengan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan, pemimpin setempat dan seterusnya, rakyat Indonesia.

Pada 11 Jan lepas, Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dari China bagi membolehkan proses suntikan vaksin di republik itu, bermula hari ini.

Pada 16 Dis lepas, Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 itu akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan dengan menyasarkan suntikan kepada 182 juta penduduk daripada jumlah penduduk Indonesia yang hampir 290 juta.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 6 Dis lepas, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Dis lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS