- KEMASKINI JAN 14: Kedai dobi layan diri dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja memantau pematuhan SOP.
PanduanKini | Lima negeri dan tiga wilayah persekutuan akan kembali kepada sekatan ketat di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dalam rangka kerajaan menangani Covid-19 bermula tengah malam ini.
Sementara itu, negeri-negeri lain akan melihat perubahan pada PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP) yang dikenakan di negeri-negeri tersebut.
PanduanKini ini akan memberikan sorotan mengenai perkara utama yang perlu diberi perhatian berhubung SOP kali ini.
Artikel ini berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 12 Januari, hanya beberapa jam sebelum sekatan tersebut berkuat kuasa.
Pihak yang terlibat
Negeri dan wilayah persekutuan yang diletakkan di bawah PKP 2.0 adalah: Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
PKP bermula dari tengah malam 13 Jan hingga 26 Jan.
Negeri-negeri di bawah PKPB adalah: Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain itu, daerah Kuching, Sibu dan Miri di Sarawak juga berada di bawah PKPB.
Negeri-negeri yang berada di bawah PKPP adalah: Perlis, dan Sarawak (kecuali daerah Kuching, Sibu, dan Miri).
Apa yang berbeza kali ini?
Perjalanan rentas negeri di seluruh negara tidak dibenarkan, termasuk di negeri yang diletakkan di bawah PKPP - yang mana merupakan perbezaan paling ketara pada SOP terbaru ini.
Untuk kawasan di bawah PKPB, kebanyakan aktiviti sosial seperti mesyuarat, pameran, perjumpaan, dan upacara perkahwinan dilarang, berbanding sebelum ini aktiviti berkenaan dibenarkan dengan kapasiti separuh tempat acara.
Sekatan tambahan juga akan dikenakan untuk aktiviti sukan dan rekreasi.
Perjalanan rentas daerah di negeri-negeri di bawah PKP 2.0 juga tidak akan dibenarkan bermula tengah malam ini.
Bagaimanapun, PKP kali ini menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi berbanding ketika pertama kali ia dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.
Begitu juga, pusat jagaan kanak-kanak dan tadika swasta akan dibenarkan untuk terus dibuka untuk memenuhi keperluan ibu bapa yang bekerja.
Walau bagaimanapun, PKP 2.0 masih menyebabkan banyak aktiviti dan perniagaan ditutup berbanding dengan PKPB yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Apa yang akan dilarang di bawah PKP 2.0?
Menurut Ismail Sabri, aktiviti berikut tidak dibenarkan di negeri di bawah PKP 2.0:
- Pasar malam dan bazar malam.
- Kedai pakaian, dobi layan diri, kedai optik, tukang gunting rambut dan salon rambut, spa dan pusat refleksologi.
- Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas ulangkaji, kelas bahasa, dll
- Kelab malam dan pub.
- Taman tema, taman permainan dalaman, pusat karaoke, dan pawagam.
- Konsert dan persembahan pentas.
- Mesyuarat secara bersemuka.
- Seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, pameran, dan kegiatan lain yang berkaitan dengan industri pertemuan, insentif, konvensi, dan pameran.
- Acara sosial seperti perayaan, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis resepsi, acara keagamaan, ulang tahun, perjumpaan, pemukiman dll.
- Aktiviti sukan dan rekreasi, kecuali untuk berjoging (dalam kumpulan tidak lebih dari dua orang dan dalam lingkungan setempat) dan berbasikal (bersendirian, tidak lebih dari 10km dari tempat kediaman).
- Pertandingan sukan, kejuaraan, dan aktiviti yang melibatkan aktiviti besar-besaran atau peserta asing.
- Aktiviti pelancongan.
- Setiap acara yang melibatkan banyak orang dan menyukarkan pelaksanaan penjarakan fizikal.
Saya perlu menjalankan tugas, tetapi saya tinggal di kawasan PKP. Apa yang perlu saya ketahui?
Secara amnya, anda diharuskan tinggal di rumah tetapi anda mungkin boleh keluar rumah untuk tujuan tertentu seperti membeli makanan, ubat, makanan tambahan, dan keperluan asas.
Tidak lebih dari dua orang setiap isi rumah boleh melakukan perjalanan bersama untuk melakukan tugas tersebut, dan anda tidak boleh melakukan perjalanan lebih daripada 10km dari tempat tinggal anda melainkan keperluan asas yang anda cari hanya dapat dijumpai di luar radius itu. Sekiranya demikian, anda hanya dibenarkan pergi ke lokasi terdekat.
Semasa menghantar pesakit ke kemudahan kesihatan, maksimum tiga orang boleh melakukan perjalanan bersama termasuk pesakit. Had perjalanan dalam 10km, atau fasiliti paling hampir sekiranya tiada dalam radius berkenaan.
Sebilangan besar kemudahan akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja. Kemudahan itu adalah:
- Restoran, trak makanan, gerai makanan, dan tempat makan lain (perkhidmatan bawa pulang, dan penghantaran sahaja).
- Kedai runcit dan kedai serbaneka.
- Farmasi.
- Pasar raya.
- Klinik dan kedai veterinar yang menyediakan makanan haiwan peliharaan.
- Kedai dobi.
- Kedai dobi layan diri dibenarkan beroperasi tetapi dengan syarat ada pekerja untuk memantau pematuhan SOP.
Waktu operasi yang dibenarkan berbeza-beza mengikut kemudahan:
- Hospital, klinik, dan makmal perubatan - 24 jam.
- Stesen minyak - 6 pagi hingga 10 malam, kecuali stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam.
- Pasar harian dan pasar tani - 7 pagi hingga 2 petang.
- Pasar borong - 12 pagi hingga 6 pagi, dan 11 pagi hingga 4 petang.
Saya tinggal di kawasan di bawah PKP. Adakah saya dibenarkan bekerja?
Semak sama ada industri anda termasuk yang disenaraikan sebagai perkhidmatan penting oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Sekiranya tersenarai, maka perniagaan anda dibenarkan untuk terus beroperasi tertakluk kepada SOP tertentu yang ditetapkan oleh kementerian.
Antara lain, hanya 30 peratus kakitangan pengurusan yang dibenarkan hadir secara fizikal di tempat kerja, sementara selebihnya perlu bekerja dari rumah.
Majikan juga harus memutuskan jumlah tenaga kerja yang ada di premis supaya jarak fizikal yang selamat dapat diamalkan di tempat kerja.
Saya bekerja dalam perkhidmatan penting. Bagaimana saya dapat melalui semua sekatan jalan untuk ke tempat kerja?
Bawa surat kerja anda atau surat dari majikan anda yang mengesahkan bahawa anda adalah pekerja.
Anda juga boleh melintasi sempadan negeri atau daerah untuk tujuan kerja dengan pas kerja atau surat kelulusan dari majikan anda.
Saya perlu menghantar anak-anak saya ke kemudahan jagaan kanak-kanak / tadika sebelum pergi bekerja. Adakah saya masih tertakluk kepada peraturan dua orang per kenderaan?
Tidak. Ketika hendak menghantar anak-anak ke taman asuhan kanak-kanak atau tadika, peraturan itu tidak dikenakan.
Dalam kes ini, jumlah maksimum orang di dalam kenderaan hanya diterhadkan oleh kapasiti kenderaan.
Saya sudah membeli tiket untuk perjalanan antara daerah / antara negeri. Apa yang berlaku selepas tengah malam?
Anda masih boleh melakukan perjalanan dengan tiket tersebut, walaupun PKP akan melarang perjalanan tersebut selepas tengah malam ini.
Ismail Sabri berkata, penduduk bandar di kampung halaman mereka harus kembali ke bandar sebelum hari Jumaat.
Pasangan saya tinggal di negeri / daerah lain. Bolehkah saya melakukan perjalanan hanya untuk bertemu dengan pasangan saya?
Tidak dibenarkan. Bagaimanapun, kerajaan akan mempertimbangkannya semula setelah dua minggu.
Sementara itu, Ismail Sabri menasihati pasangan suami isteri dalam situasi ini untuk bersabar.
Saya pelajar yang menduduki peperiksaan awam. Apa yang perlu saya ketahui?
Pembelajaran bersemuka akan diteruskan jika anda akan mengambil peperiksaan awam untuk tahun 2020 dan 2021. Ini merangkumi SPM, SVM, SKM, STPM, STAM dan DVM, serta peperiksaan setara lain.
Pelajar lain perlu meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah.
PanduanKini ini disediakan oleh Koh Jun Lin.