Guru yang akan mula bertugas di sekolah pada sesi persekolahan 20 Jan ini tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik itu.
Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata dia yakin pematuhan SOP yang ketat daripada semua pihak mampu mengurangkan risiko penularan Covid-19 serta memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung dalam keadaan selamat.
“Kapasiti sistem kesihatan sedia ada yang tidak mencukupi dan terhad juga tidak membolehkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan guru, justeru pematuhan SOP yang ketat adalah amat penting,” katanya pada sidang media Pengoperasian Institusi Pendidikan Di Bawah KPM di Kuala Lumpur hari ini.
Radzi berkata guru yang mempunyai masalah kesihatan dan berisiko tinggi boleh berbincang dengan pihak pengurusan sekolah bagi membolehkan mereka mengajar secara dalam talian.
“Mereka perlu sertakan surat khas daripada doktor bagi menerangkan masalah kesihatan yang dihadapi untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing,” katanya.
Radzi berkata bagi memastikan pelajar yang tidak mempunyai peranti serta akses internet dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kementerian turut melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Kita sedar kekangan yang dihadapi pelajar, justeru ada kaedah lain yang digunakan guru iaitu menyediakan bahan pendidikan untuk murid laksanakan pembelajaran di rumah selain melalui TV Pendidikan.
“Kita akan perkasakan lagi kaedah ini supaya murid yang tidak mempunyai akses internet serta peranti tidak ketinggalan dalam pembelajaran pada ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai murid Tahun Satu di kawasan PKP yang akan menjalani PdP di rumah mulai 20 Jan ini, beliau berkata KPM mempunyai senarai mereka yang akan ditempatkan di kelas tertentu.
“Guru-Guru akan berhubung dengan ibu bapa bagi memastikan PdPR dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dia turut menjelaskan jumlah pelajar yang dibenarkan di dalam sesebuah kelas adalah berdasarkan penjarakan fizikal yang dapat dilakukan secara maksimum.
“Selagi kita dapat adakan penjarakan fizikal seperti yang telah ditetapkan di dalam kelas itu, maka apa sahaja kapasiti maksimum pelajar adalah berdasarkan penjarakan fizikal itu.
“Kita tak tetapkan berapa jumlah pelajar dalam sesebuah kelas. Dalam SOP sebelum ini pun, ia berdasarkan penjarakan fizikal,” katanya.
-Bernama