Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Individu dari luar yang mempunyai keperluan untuk masuk ke Kelantan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan mengemukakan keputusannya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula tengah malam ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata mereka juga dikehendaki memakai gelang berwarna merah jambu apabila masuk ke negeri itu.

"Pendekatan ini sebagai usaha bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini yang semakin meningkat sejak akhir bulan lalu.

"Jadi mereka yang mahu masuk ke Kelantan perlu membuat ujian saringan Covid-19 di negeri masing-masing sebelum mengemukakan keputusan ujian berkenaan kepada pihak polis di sekatan jalan.

"Pada masa sama, mereka akan dipakaikan gelang merah jambu dan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Izani berkata, sebarang majlis keraian juga tidak dibenarkan di negeri itu melainkan majlis akad nikah yang hanya boleh dihadiri 20 orang sahaja.

"Majlis lain kita tidak benarkan sama sekali. Pusat rekreasi di Kelantan juga ditutup sepanjang tempoh PKPB.

"Kita akan meningkatkan penguatkuasaan di dan meminta orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Pasar raya atau kedai makan tidak dibenarkan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas," jelasnya.

Sementara itu tambahnya, Kelantan mungkin akan dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti lapan negeri lain, sekiranya kes Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.

"Kelmarin kita merekodkan kes tertinggi 103 kes, semalam 95 kes dan hari ini 86 kes. Malah, kesemua daerah di Kelantan berada di zon merah melainkan Jeli sahaja masih zon kuning.

"Menerusi pengumuman PKP dan PKPB di Kelantan, kita berharap kes Covid-19 di negeri ini menurun.

"Namun, sekiranya dalam tempoh PKPB, kes semakin meningkat dan tidak terkawal, Kelantan mungkin akan dikenakan PKP,” katanya yang menggesa seluruh masyarakat mengambil cakna dan menyedari bahawa kita berada dalam situasi berat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS