Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kuasa bawah Ordinan Darurat harus tumpu kawal wabak saja - Umno
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 5:36 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Umno mengingatkan bahawa kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan Covid-19 semata-mata.

“Memandangkan rasional yang dikemukakan oleh YAB perdana menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

“Sepanjang darurat berlangsung, Umno berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara,” kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

Dalam pengumuman khas perdana menteri pagi tadi, Muhyiddin Yassin berkata sepanjang tempoh darurat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memasyhurkan mana-mana ordinan mengikut keperluan semasa bagi tindakan serta-merta.

Katanya, ia merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta untuk merawat Covid-19. 

Dalam kenyataannya petang ini, Zahid berkata usaha harus dilakukan untuk segera untuk mengembalikan dan memulihkan fungsi perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen selepas darurat mencapai matlamatnya.

Dia juga mahukan jaminan kerajaan bahawa isu-isu rakyat seperti pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium akan diambil berat dan dikotakan.

Sementara itu, Zahid berkata Umno menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan pengisytiharan darurat bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS