Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah memberi perkenan untuk pengisytiharan darurat hari ini. Panduankini kali ini cuba menjawab sejumlah persoalan yang diterima berdasarkan ucapan perdana menteri dan panel pakar perundangan kami.
Siapa yang memegang kuasa?
Kuasa eksekutif dipegang kerajaan awam yang kebanyakannya dianggotai ahli Parlimen diketuai Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.
Apakah kuasa baru yang dipegang kerajaan ini?
Ia bergantung kepada Ordinan Darurat yang baru. Kami akan membuat kemas kini apabila dokumen tersebut dibuka kepada umum.
Muhyiddin memberi beberapa contoh bagaimana ordinan itu, setelah diwartakan, boleh diguna:
- Menggantung Parlimen dan pilihan raya
- Penubuhan jawatankuasa bebas untuk memberi syor kepada Agong sama ada darurat perlu diteruskan atau tidak.
- Kerajaan boleh menggunakan hospital, bangunan, tanah dan hartanah persendirian atau swasta untuk merawat pesakit Covid-19.
- Mewajibkan entiti swasta membantu agensi kerajaan, terutama hospital awam.
- Melangkaui peraturan atau undang-undang yang menjejaskan penyampaian perkhidmatan.
- Memberi kuasa kepada tentera menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
- Meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan hukuman.
- Menangani sabotaj ekonomi, monopoli dan pencatutan ketika wabak.
Bagaimana kuasa eksekutif ini boleh disemak imbang?
Kami tidak jelas berkenaan perkara ini.
Adakah undang-undang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan digantung?
Undang-undang sedia ada terus terpakai kecuali yang terkesan dengan Ordinan Darurat. Apa yang kami tahu adalah ketika era darurat, eksekutif tidak akan membenarkan Parlimen bersidang atau pilihan raya diadakan, seperti yang termaktub dalam undang-undang biasa.
Adakah Parlimen dijadual bersidang dalam tempoh terdekat?
Parlimen dijadual bersidang tiga kali pada tahun ini: 8 Mac hingga 8 April, 14 Jun hingga 1 Julai, dan 4 Oktober hingga 8 Disember.
Apa maknanya jika Parlimen tak boleh bersidang?
Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (belanjawan tambahan) tak boleh diluluskan. Tahap sokongan terhadap perdana menteri juga tidak boleh diuji.
Bolehkah perdana menteri ditukar ketika tempoh darurat?
Secara teori, boleh. Pencabarnya perlu meyakinkan Agong bahawa dia memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk dilantik menjadi perdana menteri, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Bolehkan kerajaan mendapatkan dana tanpa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan?
Bolah dan ia telah menjadi amalan lazim. Biasanya eksekutif hanya mendapatkan kelulusan setelah mendapatkan dana tersebut kerana ia memiliki majoriti.
Apakah pilihan raya yang dijadual berlangsung?
Ada dua kerusi Parlimen yang kosong pada masa ini, iaitu Batu Sapi dan Gerik, dan satu kerusi di DUN Sabah, iaitu Bugaya.
DUN Sarawak akan tamat penggalnya pada 7 Jun dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam masa 60 hari.
Bila pilihan raya boleh diadakan?
Apabila jawatankuasa bebas yang bakal ditubuhkan itu yakin keadaan cukup selamat untuk mengadakan pilihan raya.
Siapa yang menganggotai jawatankuasa bebas?
Muhyiddin belum mendedahkan perinciannya. Menurut Agong, eksekutif telah mencadangkan yang ia akan dianggotai secara dwiparti dan merangkumi pakar yang berkaitan.
Adakah mahkamah terus beroperasi?
Ya. Muhyiddin memberi jaminan itu dan malah menegaskan dia tak akan campur tangan dalam proses mahkamah.
Bagaimanapun, kita boleh menjangka prosiding yang dijadual dalam waktu terdekat ini akan ditangguh susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, dan ramai yang perlu menjalani kuarantin susulan pengesanan kontak Covid-19.
Bolehkah mana-mana ordinan darurat dicabar?
Tidak. Perkara 150(8) menyatakan tiada mahkamah boleh berbuat demikian, atas sebarang sebab.