Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Tak perlu darurat untuk tangani Covid-19
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk menangani masalah Covid-19 tanpa perlu pelaksanaan proklamasi darurat, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, Malaysia tidak seperti negara barat yang mana rakyat negara ini patuh dengan arahan kerajaan.

"Kita tidak tahu setakat mana darurat ini mengikat kita daripada bergerak sebenarnya di waktu ini.

"Tanpa darurat kerajaan mempunyai cukup kuasa untuk menangani masalah Covid-19 tidak ada pengurangan kuasa.

"Kuasa cukup penuh. Setakat ini kita belum tahu apa makna darurat," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," kata Istana Negara.

Dalam pada itu, Mahathir mempersoalkan tindakan yang boleh diambil kerajaan bagi mengekang Covid-19 dengan mengenakan darurat.

"Jadi yang ada darurat ini kononnya kerana berkembang Covid-19, tetapi apa yang darurat ni boleh buat (dan) yang tidak boleh dibuat oleh kerajaan sekarang?

"Pendapat saya kita boleh buat segala usaha untuk kurangkan perkembangan Covid-19. Sekarang ini ada darurat, saya tidak tahu lah apa makna darurat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS