Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini gagal menyerahkan memorandum berhubung keadaan politik negara kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara hari ini.
Ia berikutan ketiadaan permit daripada polis dan perlu membuat temu janji baru, menurut pengerusinya Mohd Zai Mustafa.
"Pagi tadi saya dah hubungi pejabat istana untuk kita dapat perkenan menghantar memorandum ini dan istana memberi jawapan akan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan permit.
"Kami tidak perlukan permit, yang kami perlukan hanya pegawai istana untuk menerima memorandum kita. Di pintu pun tak apa.
"Bagaimanapun, tadi kita dapat maklumat bahawa pihak istana tidak menerima kehadiran kita dan minta kita buat janji temu baru dan memohon permit daripada polis. Jadi, kita buat pendirian kita tidak akan datang lagi dan buat memorandum ini secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita di kawasan luar Istana Negara.
Antara kandungan memorandum tersebut agalah agar kerajaan sedia ada dipertahankan dan PRU tidak diadakan pada masa terdekat.
Menurut Mohd Zai, ia susulan pengumuman Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang menarik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang didakwanya antara usaha mencetuskan semula ketidakstabilan dalam politik negara.
Setelah pengumuman Ahmad Jazlan, kerajaan PN kini memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli Dewan Rakyat.
Meskipun dengan perkembangan itu, kerajaan PN masih dianggap berdiri, sekurang-kurangnya buat masa ini, disebabkan perpecahan di blok pembangkang.
PH hanya mempunyai 91 ahli Parlimen manakala 17 ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.
"Memorandum ini kita buat apabila tindakan ahli politik tidak menghormati titah Agong sebelum sidang Parlimen yang lepas, bahawa nasihat kepada ahli politik supaya jangan membuat perkara yang menimbulkan kegawatan politik lagi.
"Ahli politik boleh berpolitik dengan sikap dan pendirian dia, tetapi dia tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat...Ada juga usaha usaha daripada pihak lain, sehari dua ini akan menarik sokongan.
"Jadi, ini juga mungkin akan mengakibatkan kerajaan sekarang jatuh dan akan ada usaha untuk tubuh kerajaan baru. Tak akan kerja ahli politik jatuhkan kerajaan dan tubuhkan kerajaan baru?" soalnya.
Katanya, sebarang perbezaan di kalangan ahli politik perlu diselesaikan pada PRU akan datang, bukan sekarang.
"Bagi mengelakkan risiko Parlimen tergantung dan PRU dalam tempoh wabak Covid-19, kerajaan yang sedia ada di bawah pimpinan Muhyiddin wajar dikekalkan dan dia tidak perlu meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen," katanya.
Dalam pada itu, Ummah juga membantah hasrat mengadakan PRU15 di saat negara masih berdepan wabak Covid-19 dan kerajaan harus diberi ruang untuk menanganinya.
Umno sebelum ini menggesa agar PRU15 segera diadakan atas dasar kerajaan pada masa ini sangat rapuh.
Menurut Astro Awani pada 3 Januari lalu, presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia boleh dilakukan dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).