Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prasarana bayar separuh dari RM700j bayaran tertunggak pada MRCB-GK

Pemilik projek LRT, Prasarana Malaysia Bhd mengeluarkan sejumlah RM375 juta kepada kontraktor turnkey MRCB-George Kent, kira-kira seminggu setelah pengerusinya Tajuddin Abdul Rahman mengadakan sidang media bagi menafikan bahaawa syarikat itu menangguhkan pembayaran.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan bahawa pembayaran yang diterima oleh MRCB-GK dari Prasarana telah diserahkan kepada subkontraktornya pada Jumaat lalu.

Sumber itu berkata pembayaran berperingkat itu adalah bagi kerja-kerja yang disiapkan pada Julai dan Ogos lalu, kira-kira separuh daripada RM723.888 juta tuntutan yang dikemukakan sehingga Oktober lalu.

"Prasarana membayar (MRCB-GK) RM375 juta untuk tuntutan pada bulan Julai dan Ogos.

"Mereka (Prasarana) belum membayar tuntutan tersebut untuk bulan September dan Oktober," kata sumber itu, sambil menambah tuntutan untuk bulan November dan Disember masih menunggu giliran.

Sebelum sidang media yang diadakan oleh Tajuddin, MRCB-GK serta eksekutif tertinggi dari 16 subkontraktor dan firma perunding meminta bantuan kerajaan untuk menuntut pembayaran tertunggak.

Tajuddin, yang sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, sebelum ini menegaskan bahawa Prasarana telah membayar MRCB-GK sebanyak RM3.468 bilion pada 2 Oktober lalu untuk kerja yang disiapkan hingga bulan itu.

MRCB-GK pada masa itu menafikan kenyataan Tajuddin dan menegaskan ia hanya dibayar sehingga Jun tahun lalu.

Sebagai kontraktor turnkey, MRCB-GK ditugas membahagikan sebahagian projek LRT3 kepada subkontraktornya, dan juga menguruskan permintaan bagi pembayaran mereka.

Salah satu subkontraktor MRCB-GK, Kumpulan Gabungan AQRS Bhd memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat mereka setakat ini telah menerima pembayaran tertangguh sebanyak RM23 juta, dari jumlah tuntutan sekitar RM60 juta.

Ketika dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AQRS Azizan Jaafar mengesahkan pembayaran diterima pada Jumaat lalu.

"Kami berharap pada akhir bulan ini kami akan menerima baki pembayaran yang tertunggak.

"Pada waktu itu kami terkejut mendengar kenyataan pengerusi (Tajuddin) bahawa tidak ada pembayaran tertunggak," kata Azizan kepada Malaysiakini.

"Ada implikasi dari kenyataannya yang tidak tepat.

"Kami (subkontraktor) juga meminjam wang dari bank, dan jika bank menganggap kami berbohong mengenai kewangan kami, kemudahan pinjaman boleh ditarik," katanya.

Bertentangan dengan kenyataan Tajuddin bahawa dia tidak mencampuri urusan MRCB-GK dan hanya mahu melihat kepentingan kontraktor Bumiputra yang didakwa dipinggirkan, Azizan berkata syarikatnya dan lain-lain yang terlibat dalam projek itu tidak menghadapi masalah seperti itu.

"Tidak ada masalah. Kami tidak meminta hak istimewa apa-apa, hanya pembayaran untuk pekerjaan yang dilakukan," katanya, sambil menambah pembayaran gaji syarikatnya merangkumi lebih 300 kakitangan dan 1,000 pekerja di lokasi.

Projek LRT3 dimulakan pada bulan Ogos 2015 dengan anggaran awal RM10 bilion di sepanjang laluan Bandar Utama-Johan Setia, namun kosnya meningkat tiga kali ganda menjadi RM31.65 bilion.

Projek itu adalah antara beberapa projek infrastruktur mega yang disemak semula oleh kerajaan pusat setelah Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS