Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed diuji positif Covid-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ekonomi itu telah tiba di Kota Bharu, Kelantan, pagi semalam, melakukan ujian calitan, dan disahkan positif Covid-19 pada hari yang sama.
"Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.30 malam tadi untuk pemantauan dan keadaannya stabil," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah bahawa Mustapa sebelum ini diuji negatif untuk Covid-19 pada 1 Januari.
"Beliau memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara ini dan memohon agar semua pihak berdoa kepada Allah SWT memudahkan urusan kita semua," tambah kenyataan itu.
Seorang pembantu kepada Mustapa memberitahu Malaysiakini bahawa Ahli Parlimen Jeli itu telah kembali ke Kelantan sejak semalam untuk lawatan rutin ke kawasan pilihannya.
Menurut laman Facebook rasminya, Mustapa juga berada di Kelantan pada 3 Januari untuk lawatan ke pelbagai projek.
Pada keesokan harinya, Mustapa hadir bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai status Rancangan Malaysia ke-12, serta pencapaian Majlis Tindakan Ekonomi.
Menurut laman Facebook rasmi Istana Negara, turut hadir dalam pertemuan itu adalah tiga pegawai kerajaan dari Unit Perancang Ekonomi.
Sehingga hari Jumaat, laman Facebook Mustapa juga menunjukkan bahawa dia menghadiri majlis kementerian membincangkan hala tuju Unit Perancang Ekonomi 2021, selain bertemu dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai strategi untuk memulihkan ekonomi susulan pandemik.