Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Selain PKP, perkongsian data dan larangan aktiviti sosial pun penting

Pakar-pakar kesihatan bersetuju dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersasar (PKPB) di kawasan mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi. 

Kata mereka, strategi itu dijangka dapat membantu mengurangkan bilangan kes baru harian ke tahap yang yang lebih mudah untuk diuruskan.

Bagaimanapun, pakar terbabit turut meminta kerajaan meluaskan ujian bersasar yang berasaskan data serta melarang perhimpunan sosial, supaya PKP - dan kesan buruknya terhadap ekonomi - dapat dihadkan serendah mungkin.

Jangkitan harian Malaysia mencatat rekod baru pada Khamis apabila 3,027 kes baru direkodkan pada Khamis, dengan Johor dan Lembah Klang (Selangor dan Kuala Lumpur) menjadi penyumbang terbesar. Jumlah kes aktif kini mencecah 25,742 di seluruh negara.

Jumlah kes baru turun di bawah angka 3,000 semalam, tetapi untuk 24 jam lepas, angka kematian pula mencecah rekod tertinggi iaitu 16 kematian. Sembilan daripadanya berlaku di Selangor.

Bercakap kepada Malaysiakini, pakar ekonomi kesihatan Lim Chee Han bersetuju dengan pelaksanaan PKPB bagi membendung kawasan zon merah - kawasan yang mencatatkan 41 atau lebih kes jangkitan dalam tempoh 14 hari.

Pengkaji kesihatan awam di The Third World Network itu menjelaskan bagaimana kawalan pergerakan dapat memutuskan rangkaian jangkitan dalam komuniti.

Kenapa PKP berkesan?

Hal itu, katanya, dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan yang dikatakan kini berdepan keruntuhan.

“Mengurangkan bilangan orang keluar (rumah) bermaksud mengurangkan interaksi antara manusia, oleh itu (mengurangkan) kebarangkalian mendapat virus itu [...]

“Kerajaan boleh fokus kepada 64 daerah zon merah terlebih dulu dan sudah semestinya mengenakan semula larangan rentas negeri dan rentas daerah.

“Ini untuk mengurangkan kebimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kebarangkalian penduduk di zon merah menyebarkan virus dengan lebih jauh, dan dapatlah (mereka) fokus untuk mengurangkan jangkitan tempatan,” katanya.

Lim Chee Han

Untuk rekod larangan rentas negeri dan daerah ditarik balik oleh kerajaan pada 7 Dis ekoran tekanan kesan ekonomi yang ditanggung negara. Selepas itu, beberapa kelonggaran yang diberi menyaksikan tercetus sekurang-kurangnya 14 kluster baru Covid-19.

Pengkaji sistem kesihatan dan kesihatan awam Universiti Monash Malaysia, Mark Cheong, turut bersetuju PKPB dapat memberi lebih masa kepada sistem kesihatan awam untuk pulih daripada tekanan melampau yang dihadapinya.

Bagaimanapun, tegasnya, pada waktu sama ujian dan pengesanan kontak juga perlulah diperkuatkan.

“Dengan menjalankan ujian besar-besaran di kawasan PKPB, kita akan dapat mengesan individu yang dijangkiti dengan lebih mudah dan mengasingkan mereka untuk rawatan, selain mengesan dan menyaring setiap kontak rapat yang ada.

“Kalau ini dapat dilakukan dengan cepat dan komprehensif semasa pelaksanaan PKPB, maka peluang yang baik untuk kita mengurangkan penularan virus itu dan menyurutkan (penularan) dalam kawasan terbabit,” jelas Cheong.

Perlu telus dengan data

Sesetengah pesakit Covid-19 di Lembah Klang sebelum ini memberitahu Malaysiakini, mereka belum menerima panggilan daripada pengesan kontak KKM meskipun setelah dibenarkan keluar dari hospital.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye ada menggesa KKM untuk menggaji 10,000 belia untuk bertugas sebagai pengesan kontak bagi memastikan kumpulan terbabit dapat dikenal pasti dalam tempoh 48 jam selepas seseorang disahkan positif.

Bagi pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman, ketelusan data sangat penting untuk memulakan tindak balas sofistikated dan bersasar agar mampu menangani masalah sebelum ia menjadi parah.

Adeeba Kamarulzaman

“Data adalah sangat penting, data yang terperinci, granular, supaya kita boleh sasar dan tumpukan di mana harus dikenakan kawalan pergerakan.

“Kita juga perlukan lebih (mekanisme) ujian pantas berasaskan komuniti serta pengasingan. Kita perlu jadi lebih telus dengan data dan gunakan data untuk menyasarkan tindak balas kita,” kata profesor perubatan Universiti Malaya itu kepada Malaysiakini.

Adeeba juga merupakan ahli jawatankuasa Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

STFC sebelum ini mengkritik KKM kerana tidak mendedahkan data terperinci kes Covid-19. Menjawab kritikan itu, Noor Hisham berkata KKM perlu mengelakkan percanggahan tafsiran antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Sementara itu, Adeeba mencadangkan agar kerajaan menghentikan perhimpunan sosial di kawasan merah dan membenarkan industri-industri tertentu untuk terus beroperasi.

Gambar fail

Katanya, ia adalah antara cara untuk mengurangkan kerugian ekonomi akibat PKP yang sangat dikhuatiri.

PKP pada Mac lalu menyaksikan banyak perniagaan yang gulung tikar, dan kerugian ekonomi dilaporkan pada kadar RM2.4 bilion sehari.

“Saya rasa pejabat dan sebagainya masih boleh terus (bekerja) tetapi mungkin mereka yang boleh kerja dari rumah, bolehlah berbuat demikian. Saya tak rasa kawalan pergerakan ni bermaksud semua orang kena duduk rumah.

“Kita tahu di mana kawasan yang berisiko tinggi,” katanya.

Secara khusus, Adeeba mencadangkan agar perniagaan seperti pusat kecergasan ditutup sementara, manakala program jamuan pada skala besar dan aktiviti makan dalam kedai makan juga dilarang.

Sebelum ini data menunjukkan banyak gimnasium dan restoran mencatatkan kes positif ekoran peningkatan jangkitan Covid-19 di Lembah Klang.

Untuk perniagaan yang terkesan kerana pelaksanaan PKPB, Cheong mencadangkan kerajaan memberi mereka bantuan kewangan.

“Kita belum kenal pasti apa yang diperlukan perniagaan, majikan dan isi rumah untuk bertahan semasa tempoh PKP,” kata ahli akademik itu.

Melangkaui kawalan pergerakan

Bergerak ke hadapan, Adeeba menegaskan yang Putrajaya perlu merangka strategi pandemik yang lebih baik yang tidak bergantung kepada kawalan pergerakan semata-mata.

“Kita betul-betul perlukan satu rancangan kebangsaan yang kuat supaya kita tak (perlu) harungi kitaran ini lagi dan lagi.

“Walaupun vaksin akan tiba pada Mac, ia mengambil masa sekurang-kurangnya setahun lagi, (sebelum) sampai masanya kita (berjaya) vaksin 70 peratus populasi.

“Kita tak boleh terus-terusan buka (kelonggaran), PKP (semula), buka, PKP (semula),” tegasnya.

Pengerusi STFC Dzulkefly Ahmad

Adeeba berharap KKM akan mempercepat rancangan membenarkan pesakit Covid-19 yang tiada simptom atau mempunyai simptom ringan untuk mengasingkan diri sendiri di rumah.

Ini katanya akan dapat mengurangkan beban pesakit di hospital dan pusat kuarantin.

Untuk langkah itu berjaya, katanya, KKM perlu menyediakan mekanisme pemantauan pelaporan diri.

KKM sudah pun mempunyai garis panduan untuk pesakit sedemikian serta rakan serumah mereka, seperti di bawah.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar kerajaan pusat melabur dalam pendekatan awal untuk mengesan kes sebelum terjadinya penularan wabak.

Pengerusi STFC itu berkata inisiatif sedemikian sudah pun dijalankan di Selangor menerusi inisiatif Preventing and Detecting Outbreaks at Ignition Sites (Pois).

Pois menggandingkan kerajaan, firma swasta dan NGO agar bersama-sama menjalankan ujian awal, pantas dan berskala besar ke atas pekerja, terutamanya warga asing.

Ia turut menyediakan pendidikan kesihatan berkaitan Covid-19 kepada pekerja.

“Saya akan tekankan mengenai keperluan mendesak untuk memperkenalkan pendekatan awal (preemptive) dan proaktif, program yang menangani masalah sebelum ia merebak,” kata ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual membuat pengumuman mengenai peratusan Covid-19 yang lebih ketat pada Isnin (11 Jan) ini.

Berdasarkan pengumuman Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, kerajaan masih mempertimbangkan cadangan mengenai perubahan terhadap kawalan pergerakan dan sosial ekoran perbezaan pendapat antara kementerian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS