Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin: WHO gesa negara kaya tak potong barisan
Diterbitkan:  Jan 9, 2021 10:39 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Organisasi Kesihatan Sedunia mengakui wujud "masalah yang jelas" bahawa negara berpendapatan rendah dan sederhana belum menerima bekalan vaksin Covid-19 dan mendesak semua negara untuk menghentikan perjanjian dua hala dengan pengeluar.

"Negara-negara kaya memiliki sebagian besar bekalan," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus seperti dipetik laporan Reuters.

Tedros berkata demikian ketika mengulas mengenai "nasionalisme vaksin" pada taklimat berita di Geneva.

"Tidak ada negara yang diberi keistimewaan untuk memotong barisan dan memvaksinasi seluruh rakyat mereka sementara ada negara yang tidak mendapat bekalan vaksin," tambahnya.

Dia meminta semua negara dan pengilang berhenti membuat perjanjian dua hala dan meminta mereka yang telah memesan lebihan dos untuk segera menyerahkannya ke kemudahan perkongsian vaksin Covax.

Walaupun Tedros tidak menyebut nama negara tertentu, Kesatuan Eropah mengatakan telah mencapai kesepakatan dengan Pfizer dan BioNTech untuk 300 juta dos tambahan vaksin Covid-19 mereka dalam langkah yang akan memberi EU hampir separuh daripada output global syarikat itu untuk 2021.

Perebutan vaksin semakin ketara ketika beberapa kerajaan berdepan lebih banyak varian berjangkit yang dikenal pasti di Britain dan Afrika Selatan, yang mengancam akan membanjiri sistem penjagaan kesihatan.

Awal minggu ini, WHO mengatakan bahawa kemudahan Covax telah mengumpulkan AS$ 6 bilion dari AS$7 biliom yang diperlukan pada tahun 2021 untuk membantu membiayai pengiriman kepada 92 negara membangun yang mempunyai bekalan vaksin terhad atau tidak untuk membeli vaksin sendiri.

Hingga kini, negara-negara kaya termasuk Britain, anggota Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Switzerland dan Israel berada di barisan hadapan untuk penghantaran vaksin dari syarikat-syarikat pengeluar termasuk Pfizer dan rakan kongsi BioNTech, Moderna dan AstraZeneca.

Hampir 88 juta orang dilaporkan dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dan sekitar 1.9 juta telah terkorban akibat wabak itu sejak pertama kali muncul di China pada bulan Disember 2019, menuru laporan Reuters.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS