Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan Umno memecat Annuar Musa sebagai setiausaha agung BN, walaupun dibantah kuat oleh MCA dan MIC, menunjukkan kecenderungan Umno untuk menjadi parti paling kuat dalam BN.

Parti lain hanya penumpang yang tidak setanding dengan kekuatannya. Perkara ini boleh menguburkan parti-parti komponen BN dalam pilihan raya akan datang.

Rusa terpijak

Bersatu yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula akan menjadi seperti rusa yang dipijak oleh dua ekor gajah yang cuba memerangi wilayah masing-masing.

Dari kenyataannya pada Rabu 6 Januari, Muhyiddin berasa bimbang kerana kedudukannya tergugat susulan Bersatu sebuah parti yang kecil.

Walaupun selepas bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Umno nampaknya lebih bergantung kepada kerjasama dengan PAS. Ini kerana muafakat ini akan memperoleh undi terbesar orang Melayu-Islam, terutamanya di kawasan kampung.

Tetapi, untuk berapa lama? Oleh kerana kedua-dua gajah ini sama-sama kuat, dan berada dalam wilayah yang sama, nescaya mereka akan cuba menguasai seberapa banyak kerusi yang boleh dalam pilihan raya akan datang.

Kekurangan fokus kedua-dua parti dalam memenangi orang bandar juga menjadi satu-satu sebabnya Pakatan Harapan (PH) mungkin akan terus memegang kerajaan Selangor dan Pulau Pinang untuk satu penggal lagi.

Susah kongsi kerusi

Bagaimana pula dengan negeri-negeri Kedah, Perlis dan Terengganu? Adakah kerusi-kerusi parlimen ini sanggup diserahkan kepada PAS? Di peringkat akar umbi, ini bermakna penyokong diwajibkan menyokong parti yang berkemungkinan satu hari nanti menjadi musuh Umno.

Perbalahan politik adalah realiti yang boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama sekali kerana Umno ketika ini masih lemah berbanding dengan zaman sebelum 2008.

Bagaimana pula sekiranya orang Melayu-Islam di negeri-negeri seperti Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor condong ke arah PH, dapatkah Umno terus menjadi parti utama dengan kerusi terbanyak selepas tiga buah negeri utara diberikan kepada PAS?

Kerana pencaturan yang berlaku, kerajaan PH di negeri-negeri barat semenanjung ini tidak diberi mandat untuk tempoh sepenuhnya untuk membuktikan kebolehan mereka.

Dalam politik, senyuman yang kelihatan manis berkemungkinan adanya udang di sebalik batu.

Saya percaya dalam perbincangan perkongsian kerusi paling sukar sekali kerana tidak adanya formula yang begitu mudah.

Perkongsian kerusi mengambil kira siapakah yang akan menjadi perdana menteri atau berkuasa selepas PRU15. Dan sekiranya berlaku penceraian antara kedua-dua ekor ‘gajah’ itu, siapa yang masih dapat mempertahankan kedudukannya?

Kedua-dua parti ada reputasinya tersendiri di kalangan Melayu Islam dan bukan Melayu. Apa yang membawa Umno dan PAS bersama bukanlah kerana seperti apa yang dilaung-laungkan, tetapi kerana pemimpin-pemimpin utama PKR, Amanah dan Bersatu - yang juga Melayu-Islam - dijadikan musuh politik.

Realiti

Apabila perkataan muafakat digunakan dalam arena politik, ia mempunyai agenda tertentu. Bersatu yang sepatutnya bersatu bersama dengan PAS dan Umno juga boleh dipinggirkan.

Dalam sesuatu perkahwinan, penceraian boleh berlaku; dalam perkongsian perniagaan juga ada pertikaian antara rakan kongsi. Ini realitinya. Jadi tidak munasabahlah sekiranya parti-parti politik tidak akan bercerai selama-lamanya.

Tugasan perunding-perunding yang terlibat dalam pembahagian kerusi parlimen adalah yang paling sukar.

Yang ingin memberi kerjasama kepada parti komponen pula mungkin terpaksa dipecat mahupun diketepikan dalam pilihan raya akan datang. Ini juga jelas kelihatan sudahpun berlaku dalam parti politik tertentu.

Pengabaian terhadap parti-parti yang kecil akan menyebabkan parti-parti ini terkubur, ataupun diberi kerusi yang sukar dimenangi.

Dengan pilihan raya umum ke-15 semakin dekat, peringkat inilah yang paling menarik untuk diteliti. Bagaimana kerusi-kerusi pilihan raya akan dibahagi-bahagikan antara Umno, PAS dan lain-lain parti sama ada di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak?

Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin mengumumkan baru-baru ini bahawa Umno akan bertanding di 31 kerusi di Sabah pada pilihan raya akan datang.

Walaupun orang Sabah sekian lama ini menentang kemasukan parti-parti dari Semenanjung, namun sekarang Umno Sabah akan bertanding di sebahagian besar (43%) dari kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, walaupun dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, Umno hanya memenangi 19% kerusi DUN.

Ini bermakna 42 kerusi lain akan diagihkan kepada parti-parti seperti PBS, PBRS, Upko, Star dan Bersatu.

Oleh kerana kerjasama yang parti-parti ini bersama Umno, kemenangan Umno akan mencerminkan kekuatan parti tersebut di Sabah.

Di peringkat parlimen pula, sebanyak 55 kerusi parlimen akan ditandingi oleh Umno sementara 18 kerusi ditandingi oleh PAS.

Ini munasabah, tetapi baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengumumkan Umno akan bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi parlimen.

Tujuannya sama: Umno ingin teruskan usahanya sementara memastikan PAS tidak menguatkan kedudukannya di semenanjung.

Oleh kerana PAS tidak mungkin akan menang di Sabah dan Sarawak, yang merupakan 25% kerusi parlimen yang diwakili kedua-dua negeri ini, maka tinggal hanya 52 kerusi yang akan dikongsi antara PAS, MCA, MIC, Gerakan, PPP, Bersatu dan lain-lain.

Dalam keadaan sebegini, tidak kemungkinan parti Bersatu akan diberi kerusi. Segelintir ahli politik nescaya akan berpaling tadah kepada ‘gajah’ yang paling kuat, tetapi adakah ini boleh diterima oleh rakyat jelata?

Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad - yang berkata PH menang dalam PRU14 kerana sokongan Melayu-Islam terhadapnya - sudah terlupa bahawa Ogos lalu, partinya kalah dalam pilihan raya kecil di Slim.

Rakyat menentukan

Kemungkinan besar Muhyiddin akan dipaksa membubarkan parlimen dalam masa terdekat, tetapi tuju hala politik sebenarnya terletak di tangan rakyat yang mengikuti perkembangan politik dan bukannya segelintir ahli politik.

Oleh kerana itu, politik berunsur agama dan kaum tidak akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang kepada sebuah negara yang berbilang kaum - yang ekonominya sudah ketinggalan berbanding dengan negara-negara Asean lain seperti Vietnam.

Biar perebutan kuasa berlaku dalam arena politik saja.

Yang pentingnya kita masih lagi bersama-sama membangunkan negara dan menegakkan keadilan dan kestabilan ekonomi sebagai rakyat Malaysia.

Yang pentingnya kita masih dapat bersaing dengan negara-negara asing yang semakin maju dalam perkembangan ekonomi mereka.


STEPHEN NG adalah rakyat biasa yang mengikuti perkembangan politik negara dan sekali-sekala memberi pandangan dan suara hati nurani terhadap isu korupsi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS