Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peruntukan kewangan parlimen masih di bawah Perbendaharaan, MOF'
Diterbitkan:  Jan 9, 2021 8:22 AM
Dikemaskini: 12:29 AM

Parlimen akan tetap menerima peruntukan kewangan dari cabang eksekutif meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ditubuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

"Dari segi peruntukan kewangan pula, walaupun sekiranya diadakan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, peruntukan kewangan termasuk gaji emolumen dan pengurusan, masih tertakluk kepada Perbendaharaan Malaysia dan juga Kementerian Kewangan dan Parlimen tidak mempunyai sumber kewangan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yusmadi Yusuf yang bertanya status Draf Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dan bila akan dibentangkan di Parlimen.

"Draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen telah ada disediakan. Namun demikian, Kerajaan memperhalus dan meneliti kembali penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini.

"Hasil daripada libat urus dan tinjauan terhadap pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat di Parlimen atau stakeholders, didapati mereka lebih cenderung agar perkhidmatan Parlimen dibuat secara terbuka atau pun open services kerana mereka berpendapat adalah lebih baik dari segi kenaikan pangkat dan peluang kerjaya yang lebih luas" kata Takiyuddin.

Pembangkang sebelum ini menggesa penubuhan suruhanjaya berkenaan yang dimansuhkan pada tahun 1992 bagi memastikan institusi parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.

RUU berkenaan terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018. PH pada awalnya ingin membentangkan RUU tersebut pada Mac 2020 tetapi tidak menjadi kenyataan akibat perubahan kerajaan.

RUU ini membolehkan Parlimen mempunyai perbelanjaan dan menggaji kakitangan sendiri, suatu hak yang telah ditarik balik sejak tahun 1992.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS