Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Orang ada PhD lebih faham mengapa perlu PRU secepat mungkin'
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 11:28 PM
Dikemaskini: Jan 10, 2021 2:25 AM

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menyifatkan golongan berpendidikan tinggi lebih dapat memahami keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.

Merujuk satu temu bual sebuah stesen televisyen dengan seorang individu yang bekerja sebagai pemarut kelapa, Ahmad menerangkan sebab-sebab mengapa PRU wajar diadakan segera.

“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temubual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana Covid-19.

“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah," katanya di program wacana anjuran Umno Tanjung Malim hari ini.

Ia disiarkan secara langsung oleh Facebook Umno Online.

Turut menjadi panel selain Ahmad ialah Prof Madya Dr Baharuddin Aziz dari Center for Leadership and Professional Development dan Adun Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Pengerusi Barisan Bertindak Rakyat Malaysia, Naseron Ismail bertindak selaku moderator.

Kata Ahmad negara ini memerlukan PRU kerana kerajaan yang ada sekarang merupakan kerajaan yang paling tipis majoritinya di dunia.

Menurut ahli parlimen Pontian itu lagi secara keseluruhan di Dewan Rakyat ada 222 kerusi dan untuk mana-mana pihak menjadi kerajaan ia memerlukan sokongan majoriti iaitu paling kurang "111 campur satu".

"Dan kerajaan di Malaysia ini ialah kerajaan satu, satu, satu, campur satu saja! Perasan ke, tidak?

“Rasanya yang memarut kelapa tadi tu, dia tidak perasan... yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah, harap dia sekolah tinggilah.

"Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD (ijazah kedoktoran), saya rasa tentu dia boleh mengulas dengan lebih tepat,” katanya sambil menunjuk kepada Mohd Zaid yang juga lepasan UIA, serta Baharuddin.

Pada 6 Jan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi semasa Covid-19 di negara ini berada pada tahap genting dan mencadangkan agar perintah kawalan pergerakan lebih bersasar dilaksanakan.

Ia berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama terbabit.

Baru-baru ini Majlis Tertinggi Umno pula memutuskan untuk membawa usul berkenaan ke perhimpunan agung parti pada hujung bulan ini supaya diputuskan.

Umno sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.

Macam PAS dan Amanah

Ditanya berhubung pendirian PAS susulan hubungan tegang antara Umno dan Bersatu, Ahmad menyatakan bahawa baru-baru ini partinya juga sudah mengadakan pertemuan dengan PAS.

Katanya berdasarkan pertemuan berkenaan Umno melihat tiada tanda PAS akan meninggalkan Umno.

“Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) ada berjumpa dengan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) dan saya juga akan bertemu dengan Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan) dan kita harap akan ada perkara baiklah.

“Tetapi pertemuan bersama presiden yang baru ini, kita lihat (PAS) di situ tiada tanda-tanda nak tinggalkan kita," katanya.

Pun begitu kata Ahmad PAS juga ingin terus bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan dia mengakui ada sedikit perbezaan pandangan dalam isu itu.

Kata Ahmad, Umno "berbeza sikit" dengan Bersatu sama seperti PAS dan Amanah kerana perbalahan - merujuk kepada perselisihan pandangan sehingga melahirkan parti Bersatu - masih baru dan 'luka' daripada pertikaian itu "masih berdarah lagi".

"Namun apa yang penting pada kita (Umno) ialah hubungan di antara BN dengan PAS mesti kekal dan kekal sehingga selepas pilihan raya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS