Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO adukan pendedahan Annuar mengenai Zahid ke polis
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 7:55 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Pertubuhan Gerak Ekonomi Melayu Keramat (GEMK) hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan mengenai sokongan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terhadap Anwar Ibrahim dalam cubaan menggulingkan Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Laporan polis dibuat ketua penerangannya Zulhafiz Hanafiah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.

"GEMK membuat laporan polis berkaitan surat yang tular tentang adanya pakatan menjatuhkan kerajaan sedia ada bagi menukar perdana menteri Malaysia dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar adalah benar dan meminta pihak polis menyiasat kesahihan surat berkenaan dengan segera.

"Ini membawa kepada politik yang tidak stabil mengganggu kelancaran perkembangan ekonomi negara apabila sesebuah ekonomi itu tidak stabil negara luar juga tidak berminat untuk melabur di negara kita.

"Pada masa sama politik sekarang banyak menimbulkan keresahan buat rakyat kerana rakyat sekarang inginkan kepimpinan yang stabil ketika negara kita dilanda Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Dis lalu bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengesahkan Ahmad Zahid membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada presiden PKR itu untuk dilantik menjadi perdana menteri.

Rakyat berhak tahu

Menurutnya, akuan itu juga dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden Umno kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

"Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Zulhafiz berkata laporan polis dibuat supaya tindakan dapat diambil bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan di sebalik situasi negara ketika ini.

Jelasnya, rakyat yang ketika ini berdepan dengan Covid-19 berhak untuk tahu perkara sebenar situasi politik negara.

"Rakyat berhak untuk tahu perkara ini kerana ia melibatkan parti politik yang memerintah negara, ini juga demi kelangsungan kestabilan di pilihan raya yang akan datang.

"Rakyat berhak memilih siapa yang sepatutnya dirasakan kerajaan yang telus dan benar benar ingin bersama rakyat bagi membangunkan ekonomi negara, memahami isi hati rakyat agar rakyat selesa dan lebih makmur pada masa akan datang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS