Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyokong Anwar Ibrahim kerana ia jelas bertentangan dengan dasar parti iaitu "no Anwar no DAP".
Pada masa sama Tun Faisal berkata apa yang dilakukan oleh bosnya, Annuar Musa, cuma mempertahankan keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini.
"Sebagai timbalan ketua Umno bahagian, saya tidak mempersoalkan keputusan majlis tertinggi (MT), malah itulah yang dilaksanakan Annuar iaitu mempertahankan keputusan dasar parti yang mahu bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), menyokong Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri, juga no Anwar, no DAP.
"Yang dipersoalkan sekarang, dasar parti jelas no Anwar, tapi kenapa presiden dan Najib (Razak) tandatangan surat sokong dan setia kepada Anwar?" soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menafikan spekulasi bahawa wujud rundingan kerjasama di sebalik tabir di antara Umno dan DAP.
Katanya, rundingan bersama DAP dan PKR tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat biro politik mahupun MT, bahkan Ahmad Zahid sendiri berulang kali menegaskan pendirian tidak akan bekerjasama dengan DAP.
Perkara itu menurutnya telah pun ditegaskan Umno berulang kali.
“Dalam majlis terbuka dan tertutup di hadapan kepimpinan parti pelbagai peringkat, termasuklah baru-baru ini, presiden Umno berkali-kali mengatakan beliau tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP.
“Jika Umno mahu menjalin kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran menteri besar di Perak. Perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tun Faisal yang juga setiausaha akhbar Annuar turut membidas Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman dan ahli MT yang lain seolah-olah menjadi jurucakap DAP untuk membawa jajaran politik baru.
"Dasar parti juga jelas, no DAP kenapa pengarah pilihan raya, Tajudin dan ahli MT seolah-olah menjadi jurucakap DAP dan membawa jajaran politik baru yang digambarkan akan melibatkan Anwar, PKR dan DAP?" katanya.