Biarpun terdapat desakan daripada beberapa pihak untuk mempercepatkan pilihan raya ke-15, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berpandangan ini hanya sesuai diadakan selepas banjir yang melanda di beberapa negeri surut dan kes penularan wabak Covid-19 reda.
“Tengoklah (keadaan) Covid ni..Covid dengan banjir. Biar selesai (masalah peningkatan kes) Covid dengan banjir dulu,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai desakan Umno yang menuntut PRU diadakan sebelum suku pertama 2021 berakhir.
Video wawancara itu dimuatnaikkan di laman Facebook miliknya.
Bagaimanapun Abdul Hadi berkata sebarang keputusan perlu dibawa berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) terdahulu.
“Takkanlah (mahu diadakan) tengah banjir, tengah Covid merebak lagi?
“Kita kena bincang dengan pihak berkenaan - Kementerian Kesihatan, (lihat) dengan suasana banjir yang tak menentu. Kita tak mahu membebankan rakyat,” katanya.
Pada 4 Januari lalu, Umno bahagian Gua Musang mengemukakan usul-usul yang di antaranya menyatakan sekiranya PRU15 tidak diadakan pada suku pertama 2021, maka ahli parlimen Umno mestilah menarik sokongan yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional.
Usul tersebut turut menyatakan mengenai jumlah kerusi parlimen dan negeri yang mahu mereka tandingi pada PRU15 .
Apabila ditanya mengenai pembahagian kerusi antara parti gabungan dalam PN, Abdul Hadi berkata pihaknya memilih untuk menunggu tarikh pilihan raya diumumkan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang tidak menolak bahawa PAS Terengganu akan berdepan dengan masalah untuk persediaan PRU15, memandangkan Umno negeri pernah menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya nanti.
“Masalah tu ada.. Tunggulah pilihan raya masih belum diumumkan lagi.
“Nanti dah umum pilihan raya kita agak bila-bila.. Perbincangan tu berlangsung, kerjasama tu bukan dengan Umno saja, (ia) termasuk Umno dan parti lain dalam PN,” katanya.