Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar: Lama-kelamaan mereka akan faham pendirian saya
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Ketika beberapa pemimpin Umno menyuarakan rasa tidak senang dengan kenyataan Annuar Musa baru-baru ini, bekas setiausaha BN itu berkata tindakannya akan mula difahami lama-kelamaan.

Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai hantarannya di Facebook, Annuar mengeluarkan kenyataan demikian selepas membuat sidang media yang dikatakan memburukkan imej parti dan menyerang presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

"Mereka mungkin tidak selesa dengan pendirian saya, namun saya yakin ramai yang lama-kelamaan akan mula memahami.

"Saya tidak akan berputus asa merapatkan antara yang bertelagah..menjadi jambatan antara dua jurang serta supaya pemimpin Melayu bersatu membela kepentingan rakyat," katanya.

Pada 5 Januari, Annuar disingkirkan sebagai setiausaha agung BN dan digantikan dengan Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung Umno.

Sehari selepas itu, Ahli Parlimen Ketereh itu mengadakan sidang media antaranya mendedahkan bahawa Ahmad Zahid bersengkongkol dengan pemimpin pembangkang serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dia juga mengesahkan Ahmad Zahid membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada Anwar yang juga ketua pembangkang dan akuan tersebut akan dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Annuar juga mendakwa bahawa PAS telah mengusulkan supaya gabungan Muafakat Nasional (MN), yang terdiri daripada parti itu dan Umno, didaftarkan, tetapi Umno menolaknya.

Beberapa pemimpin Umno lain seperti Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak turut mengkritik tindakan Annuar.

Puad Zarkashi menyifatkan Annuar menunjukkan perangai sebenarnya kerana dianggap “membelasah” presiden parti dalam sidang medianya apabila membuat dakwaan tentang kewujudan surat Ahmad Zahid yang menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Manakala Najib yang juga bekas presiden Umno berkata sekiranya tidak puas hati dengan keputusan parti, individu dalam parti boleh menyuarakan rasa tidak puas hati melalui saluran parti, dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan mengadakan sidang media.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS