Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Bukit Gasing tuntut penjelasan KPM mengenai SPM
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 11:16 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan mengenai pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang telah ditangguhkan sejak tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

"Dengan kurang dari dua bulan hingga SPM 2020, pelajar dan ibu bapa masih tidak jelas mengenai bagaimana peperiksaan nasional yang paling penting akan dijadualkan.

"Sekolah dijadualkan dibuka semula akhir bulan ini, walaupun perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dikenakan di seluruh negara telah dilanjutkan hingga 31 Mac 2021.

"Ditambah dengan peningkatan rekod jumlah kes Covid-19 setiap hari, bagaimana SPM 2020 akan diadakan? Apakah mekanisme yang ada untuk memastikan setiap pelajar bersedia dan dapat menduduki peperiksaan dengan selamat?" soal Rajiv dalam satu kenyataan hari ini.

Rajiv berkata hampir 400,000 pelajar bakal menduduki SPM setiap tahun dan ini akan menjadi cabaran yang ketara dari segi logistik.

Tahun lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan, sementara SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan ditunda ke suku pertama 2021.

Pada mulanya, SPM ditangguhkan hingga Januari, namun dijadualkan semula untuk bermula pada 22 Februari dan berakhir pada bulan Mac.

"Adakah pelajar dan pengawas akan wajib menjalani ujian Covid-19 sebelum peperiksaan?

"Apakah mereka akan dikuarantin dari awal hingga akhir peperiksaan, untuk mencegah jangkitan," katanya.

Rajiv turut mempersoalkan tentang rancangan pembasmian kuman dan tindakan akan diambil jika terdapat pelajar atau pengawas dijangkiti sebaik sahaja peperiksaan dimulakan.

Memandangkan peningkatan jumlah kes harian, yang mencapai angka 3,000 semalam, dia turut mempersoal apa yang akan terjadi jika jangkitan berlaku.

"Adakah peperiksaan akan ditangguhkan di seluruh negara? Atau adakah kebanyakan pelajar akan mengambil peperiksaan mengikut jadual dan sekolah yang terlibat menduduki peperiksaan ganti pada masa yang lain?

"Adakah pelajar dan pengawas yang menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dibenarkan untuk menduduki peperiksaan atau mesti menjalani kuarantin kendiri dan adakah mereka akan menduduki peperiksaan di rumah masing-masing jika mereka terpaksa menjalani kuarantin kendiri?

"Sekiranya suatu kawasan berada di bawah PKPD adakah ujian di sekolah-sekolah yang terjejas akan dilanjutkan?" soalnya lagi.

Rajiv yang pertama kali terpilih sebagai Adun pada tahun 2013, juga meminta Kementerian Pendidikan untuk memastikan sama ada sekolah bersedia untuk menangani pelajar yang masuk dan keluar dari dewan peperiksaan pada masa sama menjaga jarak sosial.

"Ini adalah isu dan persoalan yang perlu dijawab oleh kementerian sekarang, supaya pelajar, ibu bapa dan guru dapat melakukan yang diperlukan terlebih dahulu dan bersiap sedia," tambahnya.

Dia berkata bahawa jika ujian SPM digunakan sebagai alat pengukur, 15 peratus sekolah yang berada di zon merah Covid-19 belum tentu dapat menjalani peperiksaan.

"Ini menimbulkan persoalan tentang keadilan, ketelusan dan kejujuran," katanya.

"SPM telah ditangguhkan sebanyak dua kali setakat ini kerana wabak dan peningkatan jumlah kes Covid-19. Saya menggesa KPM untuk mengeluarkan mekanisme dan SOP bagi SPM 2020 dan apakah rancangan, cadangan sekiranya peperiksaan harus ditangguhkan lagi.

"Kementerian mempunyai banyak masa untuk meninjau keadaan dan menyusun rancangan komprehensif untuk SPM 2020 dan tidak boleh berdiam diri lagi," tambah Rajiv.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS