Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia meluahkan kebimbangan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi mungkin akan menyebabkan banyak perniagaan tempatan ‘gulung tikar’ dan kadar pengangguran akan meningkat di Malaysia.
Naib Presidennya Chin Chee Seong dalam satu kenyataan berkata satu lagi pelaksanaan PKP akan menjejaskan lebih banyak perniagaan yang kini sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan.
Semalam, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) juga mengeluarkan kenyataan serupa yang meminta supaya aktiviti perniagaan dan ekonomi dibenarkan terus beroperasi, walaupun di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat.
Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata FMM menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bersasar dengan SOP ketat serta penguatkuasaan sekatan perjalanan tetapi bukan PKP yang sama seperti dilaksanakan pada Mac, tahun 2020.
"Walaupun kami menghargai perlu ada keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup, pusingan kedua PKP itu akan menjadi malapetaka kepada PKS yang akan memaksa mereka memberhentikan pekerja,” kata Chin yang juga Presiden Malaysia Cross-Border e-Commerce Association.
Beliau juga mendesak supaya pemprosesan permohonan lebih cepat untuk pemberian geran dan insentif untuk PKS tempatan.
"Apa yang berlaku sekarang, PKS terus mengalami kerugian ekonomi akibat daripada sekatan perjalanan dan lain-lain perkara yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata persatuan telah mengenal pasti banyak langkah yang dapat diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan kadar pemulihan perniagaan, dan juga ekonomi secara keseluruhan daripada kesan buruk yang disebabkan oleh pandemik tersebut.
Antara pemberian geran dan insentif kerajaan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Geran Pendigitalan PKS bersama BSN serta Geran Automasi Pintar di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kesemuanya adalah bantuan kewangan terbaik bagi PKS.
“Bagaimanapun, proses permohonannya sangat mencabar dan sukar. Banyak pemohon telah mengalami masa pemprosesan yang panjang, ia memerlukan berbulan-bulan untuk beberapa kes , sebelum permohonan mereka dipadankan dan diluluskan,” kata Chin.
Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak program keusahawanan dan latihan digital diperkenalkan serta dilaksanakan, terutama untuk komuniti belia di Malaysia.
Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menyediakan perniagaan dengan lebih banyak insentif dan pakej kewangan yang berpusatkan kepada pekerja agar mereka dapat mengambil lebih ramai siswazah yang baru menamatkan pengajian, katanya.
"Persatuan PKS berharap menerusi kesemua insentif kewangan yang disediakan dan proses permohonan dipercepatkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan, ekonomi akan pulih pada suku kedua tahun 2021, Chin berkata.
- Bernama