Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda anggap kerajaan sengaja halang parti sertai PRU
Diterbitkan:  Jan 7, 2021 1:41 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menganggap keputusan kerajaan menolak pendaftaran mereka sebagai langkah menghalang parti itu daripada menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini Muda berkata mereka sedang membuat petimbangan mengenai langkah lanjut yang akan diambil.

"Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang Muda serta penyokongnya daripada mengambil bahagian dalam PRU akan datang.

"Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan Muda untuk membentuk persatuan," katanya.

Terdahulu Malaysiakini hari ini melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menulis kepada Muda - dan satu lagi parti baru yang cuba didaftarkan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) - bahawa permohonan mereka ditolak

Keputusan itu dimaklumkan ROS kepada Muda dan Pejuang semalam.

Berdasarkan e-mel yang dilihat Malaysiakini, ROS tidak menyatakan sebarang alasan di sebalik penolakan tersebut.

Menurut Muda mereka menuntutu kerajaan PN menyertai PRU akan datang secara adil, telus dan bersih, bukannya menggunakan "helah kotor."

Katanya keputusan berkenaan juga dibuat selepas Muda menghantar permohonan sejak 4 bulan lalu dan memberikan kerjasama penuh kepada ROS untuk mematuhi syarat yang ditetapkan.

Oleh itu, kata mereka, tiada sebab kukuh untuk ROS menolak pendaftaran Muda.

Menurut Muda lagi hak berpersatuan dan mengambil bahagian dalam proses demokratik untuk setiap warganegara Malaysia ada termaktub dalam perlembagaan namun kini ia dinafikan kerajaan.

"Bergerak ke depan, Muda akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada, termasuk tindakan mahkamah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS