Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Muda (Muda) semalam.
Dalam satu emel yang dilihat oleh Malaysiakni, ROS tidak menyatakan alasan mengapa mereka menolak permohonan oleh Muda yang diterajui oleh bekas menteri Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
Pejuang pula adalah parti serpihan Bersatu yang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, peguam parti Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mengesahkan penolakan pendaftaran part itu kepada media berkata ROS memaklumkan berhubung penolakan itu melalui surat yang diemel kepada Pejuang petang semalam.
Oleh itu, parti politik yang baru diwujudkan itu, hari ini menarik tindakan undang-undangnya terhadap kelewatan ROS dalam memutuskan status pendaftaran parti itu.
Mior berkata demikian selepas menghadiri pengurusan kes dalam kamar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mariana Yahya pagi tadi.
Pada 10 Disember, Pejuang memohon semakan kehakiman untuk memaksa ROS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu.
Semakan itu untuk memohon perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti berkenaan secara rasmi sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Ia juga bertujuan mendapatkan deklarasi daripada mahkamah bahawa kegagalan ketua pengarah dan ROS untuk menjawab sebarang permohonan atau komunikasi bertulis adalah tidak munasabah dan mempunyai niat mala fide untuk melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang.
Sementara itu, Bernama memetik Mior Nor Haidir yang mewakili Pejuang sebagai berkata pihak RoS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada 5.50 petang semalam, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.
“Kita menunggu arahan anak guam untuk tindakan seterusnya kerana dalam proses ini arahan yang ada mungkin untuk merayu kepada Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya.
Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Pejuang bagi mencabar tindakan RoS yang masih belum meluluskan pendaftaran parti itu.
Mior Nor Haidir berkata berikutan keputusan RoS itu, Pejuang menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman itu atas alasan ia menjadi akademik.
Mior Nor Haidir berkata Pejuang dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu petang ini.
Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan V Krishna Priya bertindak bagi pihak Ketua Pengarah RoS dan RoS selaku responden pertama dan kedua.
Pada 10 Dis 2020, Amiruddin memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa tindakan kedua-dua responden tidak memberikan sebarang keputusan atau mendaftarkan parti Pejuang adalah bercanggah dengan kewajiban statutori mereka serta tidak munasabah dan bersifat mala-fide (berniat jahat).
Beliau juga secara alternatif memohon deklarasi bahawa kegagalan kedua-dua responden mendaftarkan permohonan pendaftaran parti itu sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan pengharapan sah pemohon.
Turut dipohon perintah mandamus bagi memaksa kedua-dua responden memutuskan permohonan pendaftaran Pejuang mengikut Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966 dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.