Pegawai Daerah Padang Terap Hakim Ariff Md Noor, yang terpalit dengan kontroversi nama stadium Ffira Mikah di daerah itu, dipindahkan ke Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md berkata ia hanya proses pentadbiran biasa dan bukan hukuman kepada Hakim Ariff.
"Bukan hukuman, ia proses pentadbiran biasa apabila Pegawai Daerah Padang Terap ditukar ke PKNK.
"Kalau hukum dia dibuang kerja, dia masih mendapat gaji dan kerja yang sama juga," dia dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.
Sanusi dilapor berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama penghuni Perumahan generasi baru Felda di Jitra hari ini.
Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1965 untuk menjana ekonomi, membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang kerja di negeri itu.
Kerajaan Kedah hari ini meluluskan pertukaran nama Stadium Mini Ffira Mikah kepada Stadium Mini Padang Terap.
Isu nama itu tular selepas “Ffira Mikah” didakwa diterbalikkan daripada ejaan nama Hakim Ariff.
Hakim Ariff pada 13 Disember lalu berkata “Ffira Mikah” tiada kena mengena dengan namanya.
Menurut Hakim Ariff, Ffira bermaksud “sesuatu yang hebat” dalam bahasa Sepanyol atau Greek, manakala Mikah merujuk kepada malaikat dalam bahasa Arab.
Dakwaan Hakim Ariff itu tidak dapat disahkan berdasarkan semakan silang bahasa yang dibuat Malaysiakini.