Suruhanjaya Pilihan Raya menganggarkan belanja menjalankan pilihan raya umum ke-15 di ketika wabak Covid-19 boleh menelan anggaran kos dua kali ganda berbanding anggaran kos sebelum pandemik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata peruntukan ini akan menampung kos perolehan peralatan, logistik, elaun dan keperluan lain.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dalam masa terdekat.
"Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian penjalanan pilihan raya tersebut berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca Covid-19,” katanya pada jawapan bertulis parlimen untuk sesi Dewan Rakyat sebelum ini yang berakhir pada 17 Disember tahun lalu.
Dia menjawab soalan daripada Su Keong Siong (DAP - Kampar), yang bertanya mengenai persiapan SPR untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang di tengah-tengah wabak, dan berapa kosnya.
"Dari aspek peruntukan, SPR menganggarkan keperluan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi melaksanakan PRU Ke-15 dalam tempoh pandemik Covid-19 yang meliputi perolehan peralatan, logistik, elaun petugas dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan," kata Tajuddin.
Sebelum wabak Covid-19, pilihan raya umum 2018 menelan belanja kira-kira RM500 juta, manakala pilihan raya umum berikutnya dianggarkan akan menelan belanja antara RM750 juta hingga RM800 juta.
Terdahulu, dilaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta sokongan 189 ketua bahagian Umno dalam satu pertemuan malam tadi untuk mengundurkan diri daripada kerajaan Perikatan Nasional Plus, yang akan mencetuskan pilihan raya umum.
Bagaimanapun, dua menteri kabinet Umno Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, yang bukan anggota Majlis Tertinggi Umno, telah menyuarakan rasa tidak setuju desakan untuk mengadakan pilihan raya.
Hishamuddin berkata dalam keadaan ekonomi sekarang bukanlah waktu terbaik untuk PRU15.
"Kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.
"Pemimpin Umno diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara; mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.
"Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya hari ini.
Khairy pula menyifatkan pihak yang menggesa diadakan PRU15 ketika wabak sebagai tidak bertanggungjawab, berkata dia tahu ada desakan daripada partinya sendiri.
"Jangan pentingkan diri sendiri," kata MP Rembau.
Majlis tertinggi Umno dijadualkan bermesyuarat pada pukul 8 malam ini untuk membincangkan perkara tersebut dan perkara-perkara lain.
Bagaimanapun, Hishammuddin dan Khairy tidak akan mempunyai suara dalam mesyuarat malam ini.
Sementara itu, Takiyuddin berkata SPR telah mengadakan sesi rundingan dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk memastikan kelancaran pilihan raya.
Pilihan raya umum ke-15 akan menyaksikan pusat pengundian tambahan didirikan di daerah pengundian dengan jumlah pemilih yang tinggi, dan daftar pemilih dikemas kini secara berkala.
Sebagai tambahan, SPR telah menyiapkan panduan untuk mencegah penyebaran Covid-19 sekiranya terjadi pilihan raya umum atau pilihan raya kecil (PRK), berdasarkan pengalaman PRK Chini, PRK Slim, dan PRK Sabah.