Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada garis panduan jelas tentang istilah dilarang di Parlimen'

Ahli Parlimen sebelum ini kurang tahu berhubung perkataan yang tidak boleh digunakan ketika sidang Parlimen kerana tiada garis panduan yang jelas tentangnya, kata Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Johari berkata demikian sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun katanya, satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Dewan Rakyat untuk meneliti perkataan-perkataan yang dianggap melanggar peraturan Parlimen.

"Yang arif, ingin saya beri sedikit penjelasan. Kita (Dewan Rakyat) ada satu jawatankuasa yang ditubuhkan speaker Azhar Azizan Harun untuk melihat perkataan-perkataan yang dianggap sebagai unparlimentarian.

"Sebab sebelum ini tidak ada garis panduan. Kita pun tidak tahu perkataan yang mana boleh guna dan tidak boleh.

"Dengan adanya garis panduan baru adil untuk membuat keputusan berhubung kata-kata unparliamentarian," katanya.

Pada 22 Februari 2017, Tajuddin memfailkan saman terhadap Khalid kerana memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.

Tajuddin menyaman Khalid selepas dia menegaskan kembali kenyatan "sial" di Dewan Rakyat serta mempersoalkan kelakuan Tajuddin dalam sidang media di luar Parlimen, beberapa hari selepas pertelingkahan itu berlaku.

Istilah itu diucapkan selepas Tajuddin menyebut Teresa Kok sebagai satu-satunya ahli Parlimen wanita yang mempunyai 'kok'.

Kes saman ini turut melibatkan dua yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Terdahulu, peguam Tajuddin, Hasnal Rezua Merican bertanya Johari sama ada Khalid menggunakan istilah itu dengan niat memburukkan imej Tajuddin.

Bagaimanapun, Johari berkata sukar untuknya menafsirkan perkataan yang digunakan di Dewan Rakyat tanpa garis panduan bahasa yang melanggar Parlimen

"Sial, jahanam, celaka - perkataan-perkataan yang biasa digunakan di Melaka dan Kedah. Isunya di sini adalah konteks.

"Sukar untuk menentukan tanpa garis panduan," katanya.

Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS