Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Stigma masyarakat lebih sakit dari dijangkiti Covid-19'

Helaan nafas lega Nur'rul Fatin Najwa Taarin, 25, yang dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas dijangkiti Covid-19 nampaknya cuma sementara.

Ini kerana, walaupun sudah dibenarkan keluar hospital, Nur’rul masih positif Covid-19 meski virus yang berada dalam badannya mempunyai kadar kebolehjangkitan yang rendah dan tidak dapat menjangkiti orang lain.

Susulan itu, dia kini terpaksa berdepan dengan stigma masyarakat pula, yang mula menghindar untuk berjumpa atau bersemuka dengannya.

“Pernah ada rakan sekerja buka pelitup muka sebentar, tetapi lepas saya masuk ke dalam (pejabat), mereka terus pakai penutup muka cepat-cepat dan keluar dari ruangan tersebut dan memandang saya dengan takut.

“Makan pun saya bersendirian sekarang. Tiada yang ingin bersama saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, terdapat juga kawan-kawan rapat yang mula memberi alasan untuk tidak berjumpa dengannya.

“Ada yang ketara, tetapi saya pun tiada ambil hati sangat. Cuma terasa ada lah sikit sebab kawan-kawan.

“Saya pun kini hanya keluar dengan orang yang betul-betul berani nak jumpa saya saja,” katanya lagi.

Selain itu, Nur’rul juga mengakui kejadian yang berlaku di ruang pejabat dan juga keadaan hubungannya dengan rakan-rakan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keyakinan dirinya.

“Saya pun kadang-kadang rasa down (sedih), rasa tidak yakin dengan diri. Nak keluar pun takut kerana bimbang orang pandang saya semacam.

“Saya pun mula persoalkan sama ada, wabak dalam badan saya ini boleh merebak ke tidak.

“Stigma masyarakat seperti ini lebih sakit dari dijangkiti wabak Covid-19,” keluhnya.

Nur’rul disahkan positif pada 19 Disember lalu setelah dijangkiti oleh rakan sekerjanya. Susulan itu, dia menjalani perintah kuarantin di rumah selama lima hari sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Selepas berada di Hospital Sungai Buloh selama lima hari lagi, dia telah diberikan pelepasan untuk meneruskan aktiviti harian meskipun masih disahkan positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pernah menyatakan bahawa hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, pesakit Covid-19 yang sudah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka disahkan sembuh.

Bagaimanapun jelasnya, walaupun pesakit masih dikesan positif, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau tidak mampu menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat kerana kadar kebolehjangkitan itu rendah.

Menceritakan situasi ketika menjalani kuarantin di rumah, Nur’rul berkata dia hanya tinggal dalam bilik dan tidak keluar walaupun untuk berehat di ruang tamu rumahnya.

“Saya memang duduk dalam bilik saja, tak keluar. Makan pun mak hantar pakai bekas pakai buang. Takut juga terkesan dan keluarga saya pula dijangkiti.

“Tandas juga saya asingkan dan basuh baju sendiri,” katanya dengan menambah bahawa dia tidak mempunyai sebarang gejala serius melainkan hanya demam dan cepat lesu.

Harap KKM beri maklumat lebih jelas

Selain itu, Nur’rul juga berharap KKM memberikan penjelasan lebih terperinci yang mudah difahami berhubung wabak itu kepada pesakit Covid-19 dan masyarakat awam.

“Sekarang ini, penjelasan KKM sangatlah keliru, saya pun kadang-kadang pening dan kurang faham. Saya faham mereka sudah banyak berkorban untuk kita.

“Cuma diharap selepas ini mereka dapat perkemas lagi maklumat tentang Covid-19, sediakan soalan lazim atau berikan kesedaran tentang wabak ini kepada orang awam.

“Seperti contoh macam mana kuarantin di rumah, mengapa pesakit masih disahkan positif, sedarkan masyarakat awam bahawa pesakit Covid-19 yang masih positif tidak akan jangkiti orang luar,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS