Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, mengesahkan dia akan menghadiri pelancaran buku veteran DAP, Liew Ah Kim, namun menafikan majlis berkenaan ada kaitan dengan gerakan 'anti-Lim' seperti yang didakwa.
"Saya berjanji kepada Liew bahawa saya akan menghadiri pelancaran bukunya, tapi majlis itu tak ada kaitan dengan pemilihan parti.
"Lebih daripada itu, ketika Liew dan penganjur majlis tersebut menjemput saya, mereka tak ada beritahu ia ada kaitan dengan gerakan menjatuhkan kedua-dua Lim," katanya kepada Malaysiakini semalam.
Semalam portal ini melaporkan wujud gerakan untuk menyingkirkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang daripada parti itu.
Ia dikatakan semakin mendapat momentum dalam kalangan ahli DAP.
Pelancaran buku yang dijadualkan pada 17 Jan ini disebut-sebut sebagai peluang bagi gerakan tersebut merancakkan lagi sokongan sebelum pemilihan parti - yang mesti dibuat selewat-lewatnya 30 Jun - diadakan.
Acara itu membabitkan melancarkan koleksi puisi dwibahasa dan memoir Liew. Dia merupakan bekas setiausaha publisiti DAP nasional, timbalan setiausaha agung dan naib pengerusi parti itu.
Liew dilahirkan pada 1938 dan menyertai DAP 28 tahun kemudian sebelum terpilih sebagai anggota DUN dan ahli parlimen selama tiga penggal.
Ada komitmen lain
Kata Liu asalnya dia berjanji untuk menyampaikan ucapan pada majlis pelancaan berkenaan namun kini sedang memikirkannya semula ekoran wujud spekulasi mengaitkannya dengan kempen anti-Lim.
"Bergantung kepada keadaan," katanya ketika ditanya sama ada dia akan berucap atau tidak.
"Saya akan menghadiri majlis itu jika ia tidak dibatalkan, tapi saya takkan bercakap apa-apa berkaitan isu menyingkirkan kedua-dua Lim," tambah Liu lagi.
Ditanya sama ada dia sendiri terbabit dalam gerakan itu, Liu berkata, persoalan berkenaan tidak timbul.
Sementara itu Naib Pengerusi DAP Selangor V Ganabatirau mengesahkan kepada Malaysiakini dia menerima jemputan bagi menghadiri majlis pelancaran buku Liew namun tidak akan menghadirinya.
Menurut exco kerajaan Selangor itu lagi dia tidak dapat menghadirkan diri kerana mempunyai komitmen lain.
Dia juga memberitahu tidak akan terlibat dalam sebarang gerakan yang membantah kepimpinan DAP.