Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kerajaan Kelantan menambah dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri itu susulan jangkaan berlaku peningkatan kes positif.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, ia bagi menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah, tidak bergejala dan berusia bawah 45 tahun.

Katanya, ia melibatkan bangunan di Dewan Jubli Perak dan asrama Kolej Kejururawatan di Kota Bharu.

"Alhamdulillah di kedua-dua PKRC ini kita boleh menempatkan 120 katil dan 48 katil.

"Mereka yang didapati positif dengan risiko rendah akan dikuarantin, dirawat dan dipantau kesihatannya di situ selama 10 hari.

"Sekiranya dalam tempoh itu seseorang pesakit didapati mempunyai gejala, dia akan dipindahkan ke hospital," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Sebagai rekod, Kelantan merekodkan 976 keseluruhan termasuk 42 kes baru hari ini.

Bagaimanapun Izani berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kes bakal meningkat dan boleh mencecah sehingga lebih 1,000 kes berdasarkan trend jangkitan semasa.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mencuba sedaya mungkin untuk mengawal penularan jangkitan.

"Saya menjangkakan akan ada pertambahan kes, kerana virus Covid-19 sudah berada di mana-mana.

"Saya berdoa supaya tak sampai hingga 1,000 kes, saya berdoa supaya rakyat kita sedar bahawa Covid-19 ini ada dan bahaya. Saya harap seluruh rakyat ambil tanggungjawab untuk menjaga SOP.

"Saya yakin kita rakyat benar-benar patuh, kes di Kelantan saya yakin dalam masa dua minggu akan mula menurun," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS