Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memberitahu mahkamah bahawa Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengajaknya 'bertumbuk' selepas kedua- duanya bertikam lidah di Dewan Rakyat.

Namun, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata dia tidak bertindak balas ketika diajak keluar oleh Tajuddin.

"Selepas Pasir Salak (Tajuddin) memberitahu Speaker: "biar kami selesai di luar", dia datang ke sebelah pihak pembangkang mengjak saya keluar. Tetapi, dia dihalang keluar oleh beberapa ahli parlimen pembangkang.

"Dia berada di balai pintu, dihalang oleh Sungai Petani (Johari Abdul). Dan beberapa ahli parlimen termasuk Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) juga nasihat saya tak payah respon. Benda ini tak ada dalam video," kata Khalid dalam sesi soal balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid merupakan defendan pertama dalam perbicaraan kes saman Tajuddin terhadap Khalid.

Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa Khalid memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi parlimen pada 21 dan 24 November 2016.

Istilah sial berkenaan diucapkan Khalid dalam Dewan Rakyat selepas Tajuddin menyebut hanya Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok'.

Susulan itu, Tajuddin mencabar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam supaya mengulangi perkataan "sial" di luar Dewan Rakyat kepadanya.

Kes saman itu turut melibatkan dua pihak lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Terdahulu, peguam Tajuddin, Hasnal Rezua Merican mendakwa Khalid membuat tafsiran sendiri bahawa Tajuddin mengajak 'bertumbuk' sedangkan Tajuddin hanya memberitahu speaker bahawa dia nak isu ini "selesaikan di luar".

"Plaintif tidak kata bertumbuk, dia cuma selesaikan di luar," kata Hasnal kepada Khalid.

Bagaimanapun, Khalid menjelaskan bahawa dia membuat tafsiran bahawa Tajuddin ajak bertumbuk berdasarkan tiga perkara.

"Ya, (Tajuddin tidak kata bertumbuk), tapi dia datang ke pintu pembangkang. Tafsiran saya berdasarkan tindakan dia selepas mencabar saya. Takkan orang kata kita "selesai di luar" sekadar nak sembang atau minum kopi. Tindakan dia sangat jelas (mengajak bertumbuk).

"Kedua, maklumat daripada ahli parlimen lain memberitahu saya bahawa dia mengajak saya bertumbuk ketika dia berada di pintu pembangkang. Dan ketiga, dia tidak menafikan bahawa tidak pernah mengajak saya bertumbuk di luar," katanya.

Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS