Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MRCB-GK sangkal Tajuddin: 39.7 peratus subkontraktor LRT3 syarikat bumiputera

MRCB-George Kent hari ini berkata pihaknya telah melangkaui kuota 30 peratus pelantikan kontraktor Bumiputera dalam projek LRT3.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan media tidak lama selepas sidang media Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman petang tadi.

Dalam kenyataan itu, MRCB-George Kent yang merupakan kontraktor turnkey projek itu berkata 39.7 peratus subkontraktor dilantik adalah syarikat bumiputera.

"Pecahan kontraktor kami adalah seperti berikut: tempatan (52 peratus), bumiputera (40 peratus) dan luar (lapan peratus)," katanya.

Terdahulu hari ini, Tajuddin antara lain berkata Prasarana selaku pemilik projek ada hak untuk "ambil tahu" dalam soal pemilihan subkontraktor projek tersebut.

"Sebagai pemilik projek, bagi sayalah, saya tak tau pengerusi lain tak peduli hal ini, (tetapi) saya ambil berat. Bagi saya penyertaan kontraktor bumiputera penting, ia dasar negara yang kita perlu sokong," katanya.

Mengulas perkara itu, MRCB-George Kent berkata kontrak Kontraktor Pakej Kerja (WPC) dianugerahkan Prasarana menerusi proses tender terbuka pada 2016.

"Pembida yang berjaya, termasuk kontraktor bumiputera, dijadikan WPC oleh MRCB-George Kent pada 2019.

"Kami melayan WPC kami secara adil dengan menggunakan kadar kontrak seperti yang dinyatakan dalam kontrak asal dengan Prasarana," katanya merujuk kenyataan Tajuddin yang dia menerima aduan daripada sesetengah kontraktor yang nilai kontrak mereka dikurangkan dalam kontrak baru.

Sementara itu, MRCB-George Kent juga menegaskan setakat ini pihaknya hanya menerima bayaran dairpada Prasarana untuk kerja yang disiapkan sehingga Jun tahun lalu.

"Penangguhan bayaran Prasarana dengan jumlah lebih RM700 juta adalah untuk Julai hingga Oktober 2020, yang telah diperakui untuk pembayaran oleh perunding bebas yang dilantik Prasarana, KL Prima Consult Sdn Bhd.

"Setakat Oktober 2020, jumlah bayaran yang diperakui adalah RM723,888 juta, sementara bayaran untuk November 2020 masih menunggu pengesahan," katanya.

Terdahulu, Tajuddin berkata pembayaran sebanyak RM3.468 bilion kepada MRCB-George Kent pada Oktober lalu adalah untuk kerja yang disiapkan setakat bulan itu, bertentangan dengan laporan yang memetik sumber mendakwa tuggakan merangkumi kerja sejak Julai.

Pada 31 Dis lalu, MRCB-George Kent dan 16 subkontraktor dan syarikat perunding yang terlibat dalam projek LRT3 menghantar surat kepada kerajaan bagi meminta bantuan mendapatkan bayaran yang tertunggak.

Mereka berkata terdapat tunggakan lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai dan jumlah itu dijangka mencecah RM1 bilion pada Disember.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS